Saturday, October 17, 2009

sms dari seorang sahabat

Tiba tiba, peti simpanan sms ku penuh. Ada beberapa sms yang sengaja ku simpan untuk kurakamkan disini...

Aku: haji dimana>?

DIa : Di jb. Baru sedarkan diri. Semalam Laily beropen house. Aku brperanan jadi pak pacak & sengih. Ni yang laluk

Aku : pak pacak sudah tukar jadi hang pacak la sudah naik gred lah haji. btn takde projek langsung ke?

Dia: mesej terakhir btn wilayah x budget. Tunggu next year. Wa tgh menung nak merapu apa toward the year end then self esteem's very low.X de battery daaa

Aku : tak tahu nak cakap apa lah haji

Dia: It's ok. Kisah hj junjung pasu dr air hitam dulu2 tetap menjadi tangkal.Cuma aku ni sikit aksi banyak eksyen. Hj nanti beri aku idea2 untuk menulis yang mana nanti boleh koloborasi tumpang nama, profesionaliti mu

AKu: mu boleh akses internet dirumah?

Dia : mandi basuh periuk solat jap haji..kat rumah takdok boleh ke cc. le ni mls istiqomah sbb tak nampak jalan..

Aku : Persimpangan jalan boleh lebih jelas bila berada di atas jalan raya..

Dia: Reserved (nak tulis dalam penerbitan), keberanian membina lebuhraya mungkin dek terjangkau oleh plgan tol nya

Aku : Tol hanya idea ekonomi kapitalis..


alahailah sahabat, kekadang terlalu memahami pun membuat kita berada dalam serbasalah, serbasusah.....

Friday, October 16, 2009

Kampung yang ku tinggalkan (5) : Masih di Tebak

..sesuatu yang sukar ku lupakan ialah bagaimana aku perlu bangun seawal jam 5 pagi untuk menunggu lori yang membawa kami meredah hutan kelapasawit itu untuk kesekolah. Lori yang membawa kami itu dilengkapkan dengan kerusi kayu di bahagian belakang lori..tidak silap ingatan ku di antara empat atau lima baris..

kami akan menunggu bas sekitar 6 atau 615 pagi. Perjalanan kesekolah memakan waktu sekitar 45 min hingga satu jam..meredah bukit dan menuruni cerun-cerun berbahaya sepanjang jalan itu, juga digigit sejuk pagi yang bukan kepalang. selalunya rombongan kami akan paling awal tiba di sekolah.

Ayahku memang mempunyai prinsip yang sangat berbeza, meskipun dia seorang pegawai ladang, tetapi tidak seperti anak-anak pegawai yang lain, aku disuruhnya bersama merasa getir dengan anak-anak pekerja ladang..berebut untuk mendapat tempat duduk yang lebih empuk (selalunya aku tidak dapat tempat itu)..atau kalau perlu ...harus saja berdiri sepanjang perjalanan kesekolah...

sepanjang dua tahun dalam pengalaman itu, ada seorang teman baik yang sedia menolong memegang beg sekolah ku setiap pagi (kemudian nya orang ini menjadi abg iparku) dan sejak aku menikah, kami pun tidak bertegur sapa lagi (sampai catatan ini ditulis).

Di Tebak juga aku berkenalan dengan seorang perempuan (anak mandor ladang) Namanya Saminah Mokhtar (dia kini isteri Tuan Pegawai Daerah Kemaman). Pernah satu ketika aku selalu yakin bahawa perempuan cantik mempunyai akal cerdas dan pintar. Saminah ini satu kelas dengan ku..selalu kerumah ku untuk belajar bersama sama (sebenarnya dia yang perlu aku ajarkan - itu lah pesan ayahnya setiap kali dia ditinggalkan dirumahku). Tetapi kepercayaan ku yang ini tersasar jadinya - Saminah tidak pintar sama sekali..sebaik selepas SPM, mungkin kerana mula di anggap beban oleh kerluarganya, dia pun dikahwin dengan Penolong Pegawai Daerah, dan aku perhatikan selepas hampir 20 tahun menikah, suami nya masih juga Penolong Pegawai Daerah - sepatutnya naik lah ke jawatan PEGAWAI DAERAH. Aku tidak hadir sewaktu dia menikah. Ada khabar yang dihantar tentang rasa keterpaksaan nya itu..aku membalas warkah nya dgn sedikit catatan;

..Sahabatku Saminah, Selamat Pengantin Baru, semuga berbahagia ke akhir hayat. Jangan terlalu takut dengan kemungkinan kerana pagi yang berkabus itu selalunya hari yang baik cuaca nya... - Jamal

untuk itu, aku betul, dia memang bahagia sehingga sebelum ramadhan...

Saturday, October 10, 2009

kempung yang ku tinggalkan (4) : Berpindah ke Tebak

tidak lama kami mendiami rumah pegawai ladang di Padang Kubu, ayah terpaksa di pindahkan ke sebuah ladang berhampiran, kirakira 20 km dari situ , iaitu ladang Tebak.

tidak banyak perbezaan, pemandangan mau pun susun atur kawasan perumahan. Sekelompok ditempatkan rumah pekerja pekerja ladang, mandur2 ladang, di sebelah atas bukit sedikir lah rumah pegawai-pegawai ladang di tempatkan...rumah kami itu paling jauh dari perumahan pekerja lain, corner lot...di tepi rumah itu ada tanah lapang hampir 30 meter persegi, sebelum ada jurang dalam mengadap cerun..selepas cerun itu ada deretan2 pokok kelapasawit, permandangan biasa bagi sebuah ladang ...

Sebenarnya ada tiga penempatan utama di Padang Kubu ini, bermula dengan padang kubu, sedikit kependalaman nya ialah Tebak, dan lebih jauh lagi ialah Sungai Emas...tetapi cuma ada satu sekalah sahaja di sini iaitu Sek Keb Padang Kubu...tiada sekolah lain di Sungai Emas atau Tebak..

Sepanjang di Tebak ini, ada kisah yang tersimpan yang membuat aku selalu terkenang kenang...di sini lah aku mula2 memandu kereta, mencuri-curi kereta ayah...sewaktu umurku 11 tahun...hepi sesnagt rasa nya ..dapat memandu meredah hutan dan lurah2 yang merbahaya itu..

di Tebak ini lah juga aku melihat kesungguhan Cek membesarkan kami...

Setiap pagi Cek bangun seawal 4 atau 5 pagi - memasak nasi lemak, membungkuskan nya dan kemudian, sekitar 6 pagi mengejutkan semada aku atau kakakku, untuk menolong dia menghantar kan nasi lemak bungkus itu ke tempat pekerja ladang menunggu lori yang membawa mereka ke ladang (jarak nya lebih kurang setengah km,)..selalunya dua bakul...lori mengangkut pekerja selalu nya tiba di tempat itu sekitar 6.30 pagi,kami perlu sampai sebelum waktu itu. Jika kami sampai selepas pekerja meninggalkan tempat itu, nasi lemak kami akan terbengkalai...

Kami (aku dan kakakku) selalu berjanji untuk bergilir-gilir menghantar nasi lemak itu, tetapi bagi kakak ku, jarang janji nya boleh dikira untuk menjadi benar...contohnya katakan hari isnin ialah giliran dia yang menghantar nasi lemak, akan wujud pelbagai masalah yang timbul, sakit perut, sakit kepala..mcm2...

Chek akan selalu mengadu padaku, meminta aku yang menghantarkan nasi lemak itu. Kadangkala aku lebih mengerti kerana ada satu tempat itu kami akan melalui rumah seorang pegawai india yang membela seekor anjing...silap cara, anjing itu boleh terlepas dan membaham betis kami...wpun itu tidak pernah terjadi...

Yang parahnya ialah, walaupun aku yang lebih banyak menguruskan soal penghantaran nasi lemak itu , tetapi upah yang kami terima tetap sama banyak - kerana jadual penghantaran kami adalah seimbang ....

aku tunduk sewaktu mendengarkan itu, bangun - menuju ke tabung yang terletak di atas meja studi di dalam bilikku...memasukkan 5 keping syiling

Friday, October 2, 2009

kampung yang ku tinggalkan (3)

aku pulang dari KL petang ini..bercampur di antara rasa terkejut dan ketakutan yang mendalam ..tapi itu tidak mengapa..aku pun bukan tidak biasa kehilangan..
"aku sudah terbiasa untuk tidak mendapat apa yang aku perlukan.."

menyambung siri kampung yang ku tinggalkan..

selama 5 tahun berada di Padang Kubu, ia semacam telah banyak membuat aku merasa berhak dan memugarkan minat sendiri...

Padang Kubu adalah daerah terpencil tanpa teknologi, bandar terdekat dari nya ialah Cukai (sekitar 50 - 60 batu dari situ). Dalam sehari, hanya ada dua trip bas sahaja yang masuk mengangkut penduduk Padang Kubu ke bandar Cukai, satu di sebelah pagi (aku lupa waktunya) dan satu lagi di sebelah petang...

alat komunikasi? mmmm setakat aku ingat ada satu sahaja pondok telefon awam (yang sepanjang ingatanku) lebih banyak rosak dari baik nya. Ada sekitar 5 hingga 6 ribu penduduk yang memang bekerja di ladang kelapa sawit. Ada satu bangunan kayu sekolah dengan 4 atau 5 bilik darjah. aku tak tahu bilangan pelajar waktu itu. Tetapi sebaik aku menaiki darjah 3, kami berpindah ke bangunan sekolah yang baru. Ada 2 blok bangunan batu sekolah, setiap satu nya 2 tingkat.

berpindah ke bangunan baru ini memang sesuatu yang sungguh menyeronokkan. selain daripada kemudahan-kemudahan yang lebih baik, semangat kami pun bertukar menjadi lebih berkobar. best nya mengingat itu. selain itu ada beberapa guru baru yang nampak lebih pandai dan bijak. juga ada beberapa kawan baru yang baik dan tentunya lebih cantek (hehehe) aku masih ingat namanya, Norhayati Kamarudin dan...Jasmin Devi..Nazuhar Jusoh, Wan Mohd Ariffin yang selalu menjadi musuh ku waktu disekolah - semua nama itu hilang sampai sekarang...

di bangunan itu lah aku membina asas asas jiwa ku, dan kefahaman ku tentang manusiawi. Kawan, yang tidak meminta sesuatu bayaran dari peribadi, yang sentiasa tulus dan suci hati adalah kawan yang ku temui waktu alam persekolahan. Aku juga perasan kawan-kawan yang kutemui kini (semalam dan hari ini - iaitu selepas aku menjawat jawatan sekrang) adalah manusia manusia yang selalunya opportunistik dan tidak lagi sesuci

aku memimpin ramai kawan kawan sebaya. Menjadi Ketua Murid waktu berada dalam darjah 4 dan 5 (septutnya pelajar darjah 6 yang selalu terpilih)., sungguh memberikan aku satu daya juang tersendiri dalam kelas nya. aku selalu nya tidak suka membaca buku-buku teks sekolah ku yang nyata tak membawa otak ku ke depan..jadi suasana sekolah dan bilik darjah itu lebih banyak membosankan dari menarik. namun, aku tidak pernah dihukum kerana kebosanan itu,cuma sekali di panggil dan dirotan guru besar. Aku fikir hukuman yang ku terima itu dilakukan sebelum aku membuat apa apa kesalahan.

CEritanya begini:
Kamal (Wan Kamal Ariffin) ini memang pelajar yang paling bergaya, mungkin kerana dia adalah anak dari seorang Ketua Kerani di Ladang. Justeru, ego nya lebih besar dan hidung nya pun lebih tinggi. Dengan keegoan itu, dia selalu membuli teman teman sekelas yang kebanyakan nya anak dari buruh2 ladang. Aku? aku anak pegawai ladang beb....

Ada beberapa teman yang selalu mengadu pada ku, terutamanya Nazuhar (dia ni anak yatim kematian ayah dan tinggal dengan ibu nya yang bekerja sebagai buruh angkat buah kelapa sawit). Tak tahan dengan sikap melampau itu, satu hari yang baik, aku berdepan dengan Kamal Ariffin ini sewaktu pulang dari sekolah...

Aku : Kamal, bila kau nak berhenti buat jahat?
Kamal: bila aku tahu ada orang lain yang boleh mengalahkan aku
Aku: OK, kalau begitu petang ini kita bertumbuk, nak
Kamal : Nak, dimana?
Aku : di padang (bola) sekolah...

rupanya dalam otak kami ada perancangan yang sama. aku membawa kawan2 yang menyokongku dan begitu jugak dia. apabila tiba waktunya, kami masuk ke padang melalui dua pintu gol yang berbza, sementara penyokong masing-masing menanti di pintu gol....
takala masing masing menunggu ke tengah2 padang bola itu, cik gu hanifa (guru disiplin) menjerit-jerit nama kami berdua..kami besoknya, tangan kanan kami pun berbekas rotan...

petang hari yang sama, tangan kiri ku pun turut berbalam balam di rotan ayah...

Tuesday, September 29, 2009

kampung yang ku tinggalkan...(2)

30 September, adalah hari kedua aku jauh sekali dari rumahku..merasa jauh sekali, sangat jauh...lebih parah ialah apabila aku merasakan aku berada sangat jauh dari mana mana pun..dari daerah mana sekali pun,,sangat jauh....parah kan?

sehari suntuk menjadi pendengar banyak faedahnya, "ruang waktu yang ada banyak membuat ku bermenung di depan sebuah kesebatian, atau merasa asing dalam diri ku sendiri...risau dan semakin bimbang dengan kemungkinan takdir yang selalu gagal menyebelahi ku.." jasad ku di dalam dewan Bengkel ini, fikiran ku mnerawang ke alam kanak2 ku...untuk untuk membandingkan beberapa remaja yang ku temui dan dekati sehari dua ini - yng aku anggap anak2 ku sendiri.

aku ingin menjadi penakluk sebenarnya! penakluk sebenar - tetapi setiap yang aku inginkan tidak mudah dicapai. Bahkan sehingga kini, aku tidak mampu menakluk apa apa, termasuk diri ku sendiri.
Sewaktu menghabisi pengajian diploma (in Business Studies - DBS - Diploma Bodoh Sombong), aku berkelana, berkejar kesana kemari mencari satu jenis kerja yang menjanjikan masadepan baik dan gemilang, tetapi gagal juga sudahnya. Teman-teman lain (contoh Amin, Zainal) yang terpaksa menangguhkan pengajian sehingga ke semester 7 (aku tidak extent) mereka memperoleh kerja secara agak mudah..Amin mendapat dua tawaran satu di Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN - kemudian nya bertukar menjadi BERNAS) dan Mezium Negeri Pahang, Zainal di ESSO, Andan melepak sebagai COnsultant, ShamBulu pulang ke Perak....aku?

Aku menginjak berjualan ikan kering sewaktu musim tengkujuh di Kemaman, berjualan jagung bakar dan suratkhabar ditepi simpang masuk ke Perumahan Kos Rendah Binjai sewaktu musim kemarau. Kadangkala menjual air tebu, atau sebelah malam di musim tengkujuh, berjaga sepanjang malam untuk menangkap burung burung yang kesejukan di padang / tanah lapang di Stadium Bola Mak Chili...Kg Air..semua itu aku lakukan hanya untuk beberapa ringgit buat melunasi perbelanjaan adik adik yang sentiasa menganga mintak makanan atau sesekali mengamuk untuk sepasang baju baru setiap musim awal persekolahan...

Sewaktu berpindah ke Padang Kubu (dari Sek Keb Batu Rakit), aku berusia 7 tahun...darjah satu. Waktu perpindahan sekolah ini lah merupakan titik titik yang banyak memberikan aku nostalgia tak terhingga...selain aku perlu menguruskan diri ku sendiri, aku juga lah yang perlu mengheret kakak ku (yang waktu itu darjah 3) untuk menemui guru besar menyerahkan beberapa helai kertas dan borang pertukaran sekolah. Selain dari ketakutan untuk aku menapak melepasi 3 bukit di tanah ladang kelapa sawit (padang kubu ialah sebuah estet kelapa sawit milik TDMB - Terengganu Development & Management Berhad), aku juga risaukan bunyi serangga dan unggas2 yang sabung menyabung waktu pagi pagi benar itu.

Ada gigitan cuaca sejuk yang mencengkam tubuh. Ini akan aku rasai sebelum menaiki bukit kedua. Namun sewaktu aku mulai mendaki bukit kedua itu, suasana hangat mulai terasa. Tiba disekolah, aku sudah berpeluh - hampir kuyup.

sewaktu pulang dari sekolah, waktu tengahari - terik matahari memang memanggang diriku, juga perasaan ku. Aku selalu menanyakan kenapa ayah ku yang waktu itu seorang Pegawai Ladang Blok E, tergamak membiarkan pewaris takhta (hehehe) ini melalui detik-detik yang sedemikian sukar- hanya di waktu akalku baru mula bertunas. Soalan itu sering terlintas di dalam benak ku, terutama nya apabila aku berkelahi dengan kakak ku - Jamilah. Bila kami berkelahi, dia akan tinggalkan aku, atau menumpang motosikal ayah kawan sekelasnya - wan Naimah. aku menapak sendirian.... cuma untuk sekrang aku sering tersenyum apabila mengingati bahawa kami lebih banyak bergaduh dari berdamai....

sewaktu pulang sendirian ini lah aku cuma mampu melayan perasaan ku sendiri. Aku akan selalu berhenti di satu anak sungai selepas bukit terakhir dari sekolah (atau bukit pertama dari rumahku). Tidak pernah aku tidak cuba menangguk anak2 ikan yang aku lihat lincah sekali bermain di air, dan dalam kebanyakan kali itu, aku tentu saja gagal...aduuuuuhhhhh...parah.
Kadang2 ada ibu air yang memang boleh berjalan jalan di atas permukaan air, lincah sekali, sihat dan sentiasa segar kelihatan nya. Bagaimana yer-tidak kah itu menakjubkan?

Ye, ada pengalaman berguna - memang yang aku daki ialah 3 bukit kecil setiap hari, tetapi yang aku pelajari dan hadhami ialah ketabahan, menifestasi kemahuan dan keazaman.... apalagi yang aku nikmati kini, kesan bukit bukau itu? apa yang kalian rasakan dapat aku pelajari?

Thursday, September 24, 2009

kampung yang ku tinggalkan

kampung Batu Rakit, hanya sebuah dari jujuran kampung di pesisir pantai Merang. Nama Batu Rakit itu diambil sempena satu hamparan batu di tengah2 lautan, timbul berayun ayun di olek gelombang. Sewaktu aku kecil dahulu, aku selalu ingin kesana untuk duduk duduk di atas batu itu, tetapi sekalipun tidak dibenarkan oleh orang tua.

Bersekolah di Sek Kebangsaan Batu Rakit memang kenangan paling singkat pernah aku alami, namun paling manis. Manis itu kerana kepahitan yang sempat aku alami. antaranya aku perlu berjalan kaki sejauh hampir 4 kilometer sebelum sampai di sekolah dan aku lakukan itu bersama kakak ku.

aku tidak ditemani sesiapa untuk menguruskan pendaftaran ku kesekolah. Rakan rakan sebaya masih di heret ayah/ibu mereka untuk urusan itu, tetapi tidak bagi ku. di waktu itu memang aku ketakutan, tetapi guru dimana mana pun , akan sedia membantu terutama bagi anak kecil yang sendirian seperti ku - dihari pertama persekolahan. Dengan bantuan guru-guru, aku tidak merasa urusan itu terlalu sukar untuk untukku. Aku kemudiannya menjadi sangat rapat dengan guru guru ini.

Berada di bilik darjah, dengan meja dan kerusi sendiri - aku merasa aku sudah ada sesuatu yang milikku dan perlu di hormati. Aku kemudian nya di lantik sebagai ketua darjah, di antara nya kerana aku lah satu satunya murid di kelas itu yang mengingati abjad A sampai Z. di waktu yang lain aku jugalah satu satu nya murid yang boleh membilang dari 1 sampai 100. Wahhhh

Kawan pertama ku ialah Isnin Abu Bakar..hilang selepas aku meninggalkan sekolah itu seminggu kemudian. Dalam keadaan kebingungan itu, aku jugalah terpaksa menguruskan sendiri urusan pertuakran sekolah ke Sek Kebangsaan Padang Kubu, sebuah sekolah diperkampungan peneroka ladang kelapa sawit di Kemaman.

Sejak itu, kampung Bt Rakit aku tinggalkan, meninggalkan sekelumit rasa kasih terhadap sawah padi, teman-teman dan saudara mara. Yang kemudian nya menjadi bahan kerinduan - kerana aku tahu perpindahan itu lah menyebab aku membesar dengn nilai berbeza, menjadi seorang anak kecil yang tidak merasa dimiliki oleh kampung, di anggap tanggang 20 tahun selepas itu dan diterima semula sebagai pejuang 20 tahun selepas 20 tahun itu....

Wednesday, September 23, 2009

Mengangankan sebuah kerinduan...

hari ini, 23 September 2009, hari raya ke4 - masih dalam mood eidilfiri..adalah antara hari hari yang sibuk dan meletihkan...dari awal pagi melayani Prof Dr Hatta Azad Khan - Dekan Fakulti Artistik dan Creative TEchnology UiTM Puncak Perdana yang di jemput sebagai tetamu kehormat dalam Majlis Graduan Perantau dengan Ahli Parlimen Dungun yang bermula jam 945 pagi.

Bersantai santai dengan Prof Hatta memang menasyikkan. Tanpa aku sedari, beliau lebih tahu sejarah Dungun berbanding aku - rupanya tokoh ini lebih sebati dengan Dungun dan nilai-nilai. Dalam banyak kisahnya, beliau selalu menyebut "saya masih ingat..bagaimana saya berada dan membesar di tengah-tengah masyarakat dungun yang lengkap di awal 60 an dan 70an - kerana "kehidupan" yang sedang bernyawa di Dungun. Di Dungun waktu itu ialah satu wajah kemodenan, berikutan dengan degupan kencang pengeluaran hasil-hasil bijih besi dari Lombong Bukit Besi - antara lombong bijih besi yang terbesar di dunia.

seluruh kisah penceritaan nya ialah betapa kerinduannya pada Dungun itu telah menerobos dalam jiwa nya, menggamit2kan kedamaian, keringan masa kecilnya.. bisik nya perlahan

"Mal, kita usahakan dokumentasikan nostagia dan keajaiban itu yer.."

Sebelah petang, adik perempuan yang bertugas sebagai guru di Pulau Pinang, membawa cek kerumah dalam perjalanan seusai menghadiri majlis kenduri kahwin teman baik nya. Di saat cek melihat aku, ada kerinduan yang terpadam....

malam, aku hadiri majlis baca yasin, menyampaikan tazkirah ringkas menjelang Isyak - kemudian nya mengimamkan siolat Isyak..sebelum bergegas ke majlis jamuan malam bersama teman-teman..

Pagi ini, sekitar 224pagi aku terjaga dari tidorku selepas mengalami satu mimpi, yang bagi ku, lebih memaknakan atau memberi makna significant dalam ruang hatiku. Aku berwuduk dan solat - munajat dan memohon sesuatu petunjuk dan gambaran..ALLAH kau lah maha Tahu betapa kerinduan ku ini dibunuh oleh satu kenyataan....satu kepahitan yang tak mungkin dapat aku muntahkan - kau juga tahu bahwa dalam sela-sela waktu yang berlalu itulah - di saat aku sedang mengangankan sebuah ketulusan dalam kerinduan, buah-buah kerinduan itu hanyalah satu lagi lompang yang membelit dan meninggalkan satu lagi kemelut dalam jiwa seseorang - ia tidak lebih dari beberapa harapan kosong yang menghibakan...

mungkinkah secara fitrahnya - itu lah sebuah lagi perasaan jahat yang aku lahirkan dalam sebuah angan-angan..seperti kiasan kisah mat jenin : yang sedangn memeluk sang puteri raja : sebelum sempat sebiji kelapa pun dapat di tuai...natijahnya ialah tubuh sendiri terhempas (dan hancur), kelapa pun terlepas...

dari dhamir hati ku, ada bisikan kecil (tetapi nyaring)

"Jamal, berhenti lah mengangankan bahawa kau diperlukan oleh nya- ia hanya onar mu sendiri. Berhentilah Jamal, kerana jika kau meneruskan nya - ia hanya merosakkan tiga jiwa termasuk jiwa nya sendiri.."

Hari raya ke empat ini adalah ulangtahun ke 3 kematian ayahanda Hashim bin Yusoff ...Alftihah

Monday, September 21, 2009

Salam eidil fitri...the never ending stroy part 1

...dan aku juga seperti kau, kerana aku telah menemui diri..

beberapa tahun lalu, aku sempat menonton sebuah filem fantasi part 1 of the never ending story....

kisahnya ialah tentang nilai-nilai sejagat - kemanusiaan, cinta dan kasihsyang.

cerita berkisar tentang sebuah kerajaan yng diperintah oleh seorang kanak2 perempuan yang bernama MAHARANI. seorang kanak-kanak lelaki yang lain bernama SEBASTIAN sedang membca kisah kerajaan ini. Bilamana disaat itu, MAHARANI sedang sakit dan musuh kerajaan sedang menuju ke kerajaan itu untuk memusnahkannya. Musuh itu ialah KEKOSONGAN....musuh utama kehidupan ini ialah kekosongan...cuma ia dizahirkan dalam bentuk ribut taufan....

dalam seluruh kerajaan itu, cuma MAHARANI yang mampu mendepani KEKOSONGAN. takala itu dia sedang sakit, maharani sedang sakit dan dgn kesakitan itu, sudah tentu dia takkan mampu menentang KEKOSONGAN. SEBASTIAN lah yng ditugaskan utk mencari ubat2an untuk MAHARANI. Illustratasi filem sgt menarik terutama nya di sepanjang pengembaraan SEBASTIAN dgn menaiki naga terbang, meredah paya berapi dsb.

AKhir perjalanan ialah dia perlu menemui guru yang boleh mengubati MAHARANI. Ada dua ubat menentang KEKOSONGAN, satu, pihak yang boleh mengubati nya ialah seorang anak MANUSIA, dan kedua, ubat untuk menentang KEKOSONGAN itu ialah memberikan sebutir PERUBAHAN...

kenapa aku menuliskan kisah filem ini untuk satu posting di musim raya? kerana aku sedang memikirkan seseorang yang sedang berdepan dengan kekosongan dalam hidup dan diri nya sebelum berakhirnya hari raya kedua....Apakah takala kau kembali kepada fitrah mu , kau merasa hati dan perasaan mu di penuhi KEKOSONGAN? kau tahu ubatnya kan?

Saturday, September 19, 2009

malam lebaran



Lebaran bukan sahaja hari kemenangan, tetapi juga kekalahan.

Kekalahan, yer bagi yang tak berhasil meningkatkan maupun sekadar segaris kualiti kemanusiaannya, juga kekalahan bagi yang tak mampu memperbaharui kualiti manusiawi org lain.

Hari kemenangan itu telah semacam menjadi beban, semada beban ekonomi perorangan atau ekonomi kerana kesan inflasi, kenaikan harga barang atu kesan eknonomi dari nya. Ironinya, ketika hari kemenangan disambut dengan kepanikan, kenaikan harga-harga barang tetap berlaku dan bagi kebanyakan kita, ia juga bermakna peningkatan kantung-kantung hutang.


Mengapa segala hal telah berkiblat kepada kebendaan. Tak ada lagi yang peduli untuk cuba menyelami, apa yang semestinya terjadi di Idul Fitri. Apakah merenungi, menelanjangi jiwa sendiri, atau ke sana ke mari wara-wiri dengan baju baru dan gemerlap perhiasan warna-warni. Mengapa menjelang hari itu segalanya justru menjadi sesak; mall, pasar tradisional, toko sembako, seperti sesaknya dada si fakir yang tak tau harus membelanjakan apa menyambut hari raya, sesak pengap membekap, padahal namanya lebaran, bukan sempitan.

Jika begitu, lebaran memang menjadi bulan di atas kuburan. Pedih, menyayat, sepi, mencekik.

Friday, September 18, 2009

satu perbualan yang menyemarakkan jiwa

sepulang dari Kuala Lumpur (sekitar 6 petang), aku bergegas mencari juadah berbuka puasa. Sempat bertemu dengan beberapa bekas pelajar yang turut pulang beraya di kampung. bungkam selepas berbuka....tidor dan tenggelam dalam arus keletihan yang agak dalam.
Sekitar 1030 malam, aku terjaga semula, memberikan aku kekuatan untuk melaksanakan beberapa tuntutan kerja selepas beberapa hari kebelakangan ini, di panggang kesakitan yang agak luarbiasa (kesan nya seluar ku banyak yang terlondeh)....
aku menghubungi sahabta lama yang semakin membisu, Amin dari BTN Johor dan berbual panjang kali ini, berbual tentang hari raya yang akan disambut yang sudah tidak berapa hari lagi ini..
Aku bertanya pendapatnya tentang hari raya, soalan yang serupa pernah kami bualkan hampir 20 tahun lalu. Kali ini aku berhasrat untuk memberikan definisi semula tentang semua ini, kefahaman dan mekanisma perlaksanaan..
Kata Amin, Raya bagi nya berada dalam lingkungan yang sangat sempit; lebih menjurus keada dirinya sendiri, bermaafan, sembahyang sunat hari raya dan kemudian nya balik dan melahap apa apa yang ada - untuk membezakan hari raya dengan hari-hari tidak raya yang lain...
"Jadi, apa yang dirayakan?"
"Kemenangan" jawap nya ..
"menang? memang apa?"
"Ya sepatutnya kita berjuang dalam 30 hari yang lalu, berjihad dan melaksanakan perjuangan terbesar.."
OO begitu, jawapku sebelum aku mula menyemarakkan suasana dan jiwa ku dengan kata-kata begini..
"untuk apa semua ini? jika pahala yang menjadi persoalan, rasa nya kita sedang berurusan dengan sesuatu yang normal dan hambar...." perbincangan pun berlarut...
bagaimana kah perasaan ku setiap kali hari raya?

Wednesday, September 9, 2009

..menyentuh dhamir hati

Seorang teman telah mengutus satu email padaku pagi ini, memohon agar aku mengabadikan nukilan ini di dalam blog ku yang sembarono ini (hehehehe), tulisan nya begini:

"dari lirik lagu yang tak pernah ku dengar....
.... with the first hello, she gv the meaning to this empty world of mine, that never did another love, another live
she fills my heart with very special things,
she fills my soul with so much love that anywhere i go
i m never alone ..."

aduh, parah ni weiiii....gimana ya pak?

Tuesday, September 1, 2009

Relativiti Masa...

karangan ini kuringkaskan dari buku "Hakikat Kehidupan Duniawi" karangan Harun Yahya, ms 236 - 241. - yang kuhadam seusai berbuka puasa, Ramadhan 10, 1430.

"Masa hanya lah dari satu persepsi. Ia (persepsi masa) ialah kefahaman untuk membandingkan saat kini dan apa yang ada di dalam memori penganggap nya (orang yang memikirkan nya). Sekiranya perbandingan ini tidak di lakukkan, maka tidak ada apa yang dipanggil persepsi masa."

Justeru, masa wujud sebagai hasil daripada perbandingan yang dilakukan di antara beberapa ilusi yang tersimpan di dalam otak. Masa tidak mempunyai kewjuduan tetap yang terpisah daripada aturan peristiwa oleh apa yang kita gelar ukuran..Memandangkan masa mengandungi persepsi, ia bergantung sepenuhnya kepada penerima dan ia adalah berkaitan.

Jelas lah bahawa, sementara "ruang merupakanan aturan objek-objek material, maka masa adalah aturan peristiwa-peristiwa..."

Jadi, sesetengah dari kita selalu mengukur masa mengikut peristiwa2 terpenting dalam hidupnya. In menjadikan dia terAWAL beberapa ketika..contohnya SEMINGGU lebih awal dari peristiwa yang sepatutnya...

Dalam sebuah kisah cinta, janji lelaki untuk bertemu kekasih nya pada satu tarikh tertentu, tetapi mungkin kerana siperempuan terlalu merindui, menanggapi tarikh tertentu itu seminggu lebih awal dari janji yang telah dipersetujui...

....antara rasa kasihan dan harapan, silelaki sempat meraikan kekeliruan itu dengan meneliti Teori Relativiti masa ..untuk menenangkan kekasih yang terpasong oleh "aturan-aturan peristiwa" yang sedang rapi tersusun di benak kekasih nya itu aturan-aturan peristiwa itu lah yang mendasari mekanisma ukuran masa yang digunakan oleh si dia tu......

Saturday, August 29, 2009

Ramadhan di Dungun

sepatutnya bulan Ramadhan ini ialah peluang mengimarahkan sifat sedekah dan pemurah. hari pertama berpuasa dan berbuka di Madinah, membuat akur rasa pelik pada mula nya - sebaik memasuki kawasan Masjid Nabawiah untuk berbuka puasa, aku disambut oleh seorang Indonesi, memegang tangan ku dah mengheret aku ke tempat duduk yang telah terhidang juadah berbuka puasa - hadiah dari tuan gajian saya - kata Indonesia itu.

saya tanya "tuan"?
Ya Tuan, majikan saya. dia seorang arab. Setiap hari dibulan Ramadhan ini dia akan menyediakan juadah berbuka puasa untuk 40 orang.saya ditugaskan untuk mencari orang-orang berpuasa untuk berbuka dengan juadah yang dihadiahkan olehnya..

oo begitu yer - bisikku perlahan, sambil mata ku memandang sekeliling dan mendapati ada puluhan barisan hidangan yang lain dengan pelbagai wajah "pencari" orang untuk berbuka puasa. Aku yakin mereka mewakili majikan-majikan yang berbeza - demikian Ramadhan membentuk sifat pemurah dan sedekah bangsa Arab - yang terkenal jahat dan haloba....

di tempat aku bermaustatin ini - Dungun - sifat dermawan itu nampaknya tidak membiak. Para peniaga masih mencekik darah setiap pengunjungnya - ketupat dah 3 biji untuk RM1 , setengah nya 2 biji RM1 - sama mahal atau lebih mahal dari sebelum Ramadhan. Ironinya, Ramadhan dilihat sebagai peluang "menangguk seberapa banyak wang untuk hari raya" dan bukan nya peluang untuk menangguk seberapa banyak fadhilat sedekah dan pemurah...alangkah sedihnya memikirkan ini.

aku pernah bertanya, kenapa tidak ketemui seorang pun di kalangan usahawan yang mahu memugarkan sifat pemurah dan sedekah itu dengan memberikan 4 biji untuk RM1 (sempena Ramadhan ini)?

Tidak seperti di tanah kelahiran Rasulullah, kita selalu mendakwa kita adalah negara Islam terbaik di dunia - sedangkan nilai -nilai khusus yang di atur dalam Ramadhan ini telah semakin jauh dari hati nurani kita....

Malam tadi aku memimpikan mu, kali kedua tentang mu (setakat ini) membawa berita tentang kematian mu - aku terjaga aku meratap mu di pusara mu ....

Friday, August 28, 2009

kunjungan dari Sheikh Mekah - nilai

Khamis malam, masjid Pak Sabah di kunjungi oleh dua orang Sheikh dari Mekah, satu nya Sheikh Saad dan Seorang lagi Sheikh Khalid. Sheikh Saad adalah Hakim Syariah di Mekah, beliau mengimami solat Isyak dan seterusnya solat sunat terawikh - mmmm dalam jumlah 8 rakaat campur 3 rakaat lagi untuk witir. Beliau akan berhenti pada rakaat ke empat untuk memberikan tazkirah ringkas....

Tazkirah diberikan dalam Bahasa Arab, diterjemahkan oleh seorang ilmuan di sini - yang dikenali sebagai Ust Bakar...

Terdapat beberapa perbezaan ketara dalam bentuk dan cara yang baru di pertontonkan oleh Sheikh tersebut..

i) Tiada doa yang dibacakan oleh Imam sebaik sesudah solat Isyak, secara berjemaah seperti yang menjadi amalan di sini.

ii) Tiada selawat pada setiap 2 rakaat solat sunat terawikh

iii) ada nya tazkirah, yang bagi ku, sangat bagus untuk terus diadakan amalan - kerana ada elemen ilmu yang mengalir dalam khalayak yang lebih merata disepanjang ramadhan..

Sesi lawatan ini ialah apa yang diatur oleh Kerajaan Negeri Terengganu - katanya melibatkan perbelanjaan ratusan ribu juga.

Namun, apakah ia harus dilihat seperti air hujan turun begitu sahaja? Tidak kah perlu di ambil sedikit ikhtibar untuk kemudian nya menjadi sebahagian dari resam hidup umat di sekitar sini, terutamanya item (iii)?

Mengapa kita sedemikian taksub dgn amalan warisan nenek moyang yang setengahnya kelihatan di tokok tambah, tanpa mengambilkira nilai-nilai pemahaman dalam setiap gerak ibadat - masihkah masjid kekal sebagai institusi ibadat atau masih tegap sebagai satu rumah adat?

Thursday, August 27, 2009

Sejarah Puasa Ramadhan ; Prelude

Puasa adalah suatu ibadah yang telah lama dilakukan oleh manusia sebelum Islam. Ayat 183 surah Al-Baqarah maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa seperti mana diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.

"Al-Qurtubi di dalam tafsirnya "Al-JamiÕ li Akhamul Quran" menjelaskan bahawa Allah telah memfardukan atas umat Musa dan Isa Alaihissalam berpuasa di bulan Ramadhan. Ini kemudian nya diubah dengan menambah sepuluh hari lagi sebagai membayar nazar pendita yang telah sembuh daripada sakit, justeru puasa orang-orang nasrani empat puluh hari.

Kerana kesukaran berpuasa Ramadhan (di musim panas) membuatkan mereka memindanya pula ke musim sejuk. Manakala pendita yang lain pula bernazar jika dia sembuh dari sakit mulutnya beliau akan menambah sepuluh hari lagi hinggalah puasa mereka menjadi lima puluh hari.

Imam Mujahid menukilkan bahawa Allah telah memfardukan puasa ke atas setiap umat. Rashid Ridha mengukuhkan pendapat ini dengan "puasa ini pernah dilakukan oleh orang-orang Arab sebelum Islam".

'Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa orang-orang Quraisy berpuasa pada hari 'Asyura. Setelah Nabi berhijrah ke Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, maka baginda turut berpuasa beserta dengan sahabat-sahabat lain. Pada akhir Sya'ban tahun yang kedua Hijrah Allah menurunkan ayat-ayat yang mewajibkan puasa (yakni 183,184,185 dari surah Al-Baqarah).

Setelah puasa Ramadhan difardukan, Rasulullah s.a.w. bersabda tentang puasa Asyura yang dilakukan sebelum itu yang bermaksud:"Barang siapa yang ingin berpuasa pada hari "Syura" maka puasalah dan barang siapa yang hendak berbuka maka berbukalah". Rasulullah s.a.w. berpuasa Ramadhan selama hidupnya sebanyak sembilan kali. Lapan kali dengan dua puluh sembilan hari dan sekali sahaja puasa penuh tiga puluh hari. Mengikut riwayat yang lain sebanyak dua kali puasa penuh tiga puluh hari.

Menurut pendapat yang masyhur di kalangan Umat Islam bahawa puasa itu diwajibkan atas segala pemeluk agama. Bangsa Mesir yang menyembah berhala berpusa, bangsa Yunani memastikan setiap lelaki dan perempuan mereka berpuasa demikian juga dengan bangsa Romawi dan orang-orang Hindu terus menerus berpuasa sehingga kini. Kitab taurat menyebut bahawa puasa difardukan ke atas orang-orang Yahudi pada hari yang ke sepuluh di bulan yang ke tujuh iaitu yang dinamakan hari 'Asyura. Mereka berpuasa siang dan malam. Puasa yang termasyur bagi orang-orang Nasrani pula ialah puasa sebelum "Iedil Fishi" iaitu hari memperingati bangunannya Al-Masih dari kubur. Itulah di antara puasa yang dilakukan sebelum Islam iaitu puasa yang dipraktikkan oleh Nabi Musa dan Nabi Isa a.s. dan para Hawari. Ia kemudian nya dipinda dan ditambah oleh ketua-ketua gereja dengan berpuasa yang lain dan dalam bentuknya yang lain, ada yang berpuasa daripada memakan daging, telor, ikan, susu dan sebagainya.

Semua situasi di atas adalah jauh bezanya dengan puasa yang difardukan ke atas umat Muhammad s.a.w. Puasa yang dilakukan bukan kerana memperingati sesuatu peristiwa atau berpantang daripada satu-satu jenis makanan dan bukan pula kerana nazar yang tidak disyariatkan. Tetapi puasa pula disyariatkan oleh Allah dengan tujuan melatih hambaNya supaya bertakwa kepadanya sepertimana yang disebut di dalam firmanNya maksudnya:

"Mudah-mudahan kamu bertakwa."

Inilah natijah yang ingin dilahirkan oleh puasa yang telah disyariatkan dan Allah menyatakan di dalam sebuah hadis Qudsi maksudnya: "Setiap amalan Bani Adam itu adalah untuknya melainkan puasa ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya".

Jadi, serasi kah amalan kita dengan syariat Islam, apakah puasa ini di amalkan sebagai ibadat, atau hanya adat?

Tuesday, August 25, 2009

..tangkas menyerbu - untuk memusnahkan

salam....

waduh! seketika seakan baru tersedar dari satu pembaringan panjang, dia bangun tiba tiba, tangkas menyerbu mencari beberapa lagi calun untuk dimusnahkan. Seperti pepatah - tangan yang pernah melepaskan anjing yang tersepit, kali ini tangan itu lah juga yang cuba di gigit : membiarkan aku agar berdepan dengan beberapa kemungkinan dan situasi baru - ia bersifat menguji ketabahan ku - atau keazaman ku...

turunlah ke gelanggang, kawan! jangan bersembunyi di balik daun sehelai, jangan pula mengharapkan embun di panas yang terik....kerana kita saling mengetahui nya - bahawa dalam banyak keadaan, hanya niat yang mampu menyelamatkan kita. Jangan ada niat memusnahkan kerana yang bakal musnah nanti ialah diri mu sendiri...

justeru, kawan ku - untuk apa lagikah keonaran yang cuba kau bentuk ini, kau tahu kan apa kah hasil akhir dari nya. Jika memang aku yang kau buru..pastikan panah mu di sapu racun paling berbisa, biar nanti di saat ia menembus jantung ku kerana panahan tepat mu itu, aku mati kerananya. Pastikan aku mati disitu juga,dan jangan kau tinggalkan aku dalam keadaan kau ragu ragu tentang hayatku...Bunuhlah aku sampai aku benar benar mati.

Kawan, Ramadhan Al Mubarak banyak menurun kan banyak kebaikan dan petunjuk. Ia juga adalah bulan rahmat dan ukhuwah. Jangan terpelanting dari rahmat dan kesedaran
dalam masyarakat org gila, tidak ada org gila....(orang waras itulah di lihat gila...)

Alhamdulillah , Ramadhan ini menjernihkan....dua jiwa, mengeruhkan dua jiwa yang lain.....

Friday, August 21, 2009

Sehari sebelum ramadhan, beberapa tahun dahulu
















hari ini, sehari sebelum ramadhan beberapa tahun dahulu - aku menjejakkan kaki di bumi Mesir, bumi Firaun (kata ustaz) sebelum aku menyampuk - Bumi Anbiya jugak ustaz.. (ustaz terkedu dan tunduk ke bumi).
setiba di Pyramid sekitar 11 pagi, terus menyusup masuk ke dalam nya...menuruni dan mendaki ratusan anak tangga (aku lupa nak bilang sebenarnya) sambil membongkok ...sebelum tiba di puncak / pusat pyramid....kemudian terus berdepan dengan kubur Firaun yang kosong.
"Kemana Firaun?" tanya ku
"Mayatnya telah dipindahkan ke Muzium Mesir", sahut ustaz
'O begitu?, jadi mari kita kesana..", kata ku ringkas
"tak boleh En J, sebab jadual kita ke Iskandariah selepas ini.."
"apa yang ada di sana?"
"diaorang nak membeli belah, nak tengak pantai Iskandariah yang cantek".
lama aku terdiam, menyusun hujjah konkrit sebenarnya....
sebaik semua peserta memenuhi kerusi bas yang membawa kami itu, ustaz pun mengumumkan ..

"kita akan ke Iskandariah. Iskandariah ialah sebuah bandar pesisir air yang cantek...bla bla bla...."
kenapa kita perlu kesana?
Sebb ia telah tercatat dalam jadual
Siapa yang buat jadual?
saya..
ustaz, saya mohon pertimbangan untuk menukar rancangan ke Mezium Mesir...bla bla bla
tak boleh
kenapa tak boleh...? kita mungkin tak perlu ke sini untuk tgk pantai, atau nak shopping..semua itu ada di Malaysia, tetapi Mezium Mesir tak da di Malaysia...
Tak boleh
Ok kalau tak boleh, turunkan saya di sini, saya akan bubar dari rombongan ini kerana saya tak boleh bersetuju dengan ustaz ...bagi saya tujuan ke Iskandariah tidak kukuh, membazir waktu ....

setelah 30 min debat itu berjalan, pemandu bas akhirnya membawa bas menuju ke tengah bandar Kaherah sebelum mencari tempat meletak kenderaan di dalam kawsasan Mezium Mesir. aku menghabiskan seharian untuk meninjau setiap penjuru dalam Mezium 5 tingkat itu -malam itu kami bersahur nasi goreng dari beras India -- nasi nya lembik...

Thursday, August 20, 2009

malam hari

malam hari di sini,
udara menghembuskan ratapan roh...........................................
doa terbang bersama angin......

SELAMAT DATANG RAMADHAN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Ramadhan semakin hampir., ia bakal menunjangi ibadat puasa - hukum yang sentiasa mencabar wibawa, iltizam dan kemahuan umat Islam islam supaya kekal konsisten dalam perjuangan. Sesungguhnya Ramadhan telah tampil sebagai satu Madrasah pendidikan umat dalam memperkasa kekuatan daya tahan diri, memugar dan membaja tahap kesabaran dan mengukuhkan keimanan, sekaligus menjadi benteng ampuh menghadapi dan menolak perlakuan negatif.
Secara peribadi, Ramadhan banyak membina watak ku. Ia membekalkan aku tenaga terpenting buat ku berlari dari hujung ke hujung ramadahn yang satu lagi. Satu peristiwa yang berulang beberapa Ramadhan ialah dimana aku pernah berpuasa selama 3 hari beruturt-turut - berbuka dan bersahul hanya dengan beberapa teguk air dari paip ....bukan kerana tiada langsung makanan atau minuman, tetapi sentiasa tidak kecukupan untuk memenuhi mulut adik-adik yang sentiasa menganga untuk disuap...
Tetapi itu tak mengapa.. ia kemudian nya menajdi satu titik dan tunjang paling paksi dari institusi Ramadhan, cuma untuk sekarang selalu ada pertanyaan ..kepada siapakah boleh aku kongsikan cerita cerita begini...?
Dalam kesempatan ini, aku ingin menyampaikan hasrat hati ;; kepada siapa yang selalu atau melintas melepasi blog ku ini, aku ingin kau tahu bahawa aku telah menyusun kedua puluhan jari jemari yang ada padaku ini untuk menuntut ampun dan maaf dari mu, hanya jika sepanjang kita bergaul, bercanda dan berurusan aku telah terlebih gaya, atau terkurang (ajar) atau keterlaluan (dalam meminta). Kau pun tahu, aku manusia yang lemah dan serba daif . Halalkan lah apa saja yang pernah kau hulurkan pada ku , baik makanan yang berupa nasi (masak kicap), mee goreng kuih muih (karipap ker), minuman (teh o / pepsi) , duit ringgit maupun tutur kata atau perlakuan.
Kepada yang mengenaliku, aku telah maafkan kalian jika hati ku pernah terguris. Kepada adik-adik yang pernah menyayangi ku atau membuat aku rasa di sayangi - abg maafkan dan halalkan apa saja yang pernah terlimpah dalam mulut kalian, kepada "dia", abg doakan ketenangan, semuga Ramadahn ini membuat kita lebih saling memerlukan, saling menyintai dan bahagia kerana merindu..
Akhirulkalam, kita semua adalah pengembara di muka bumi ini, melalui jalan yang sama bahkan cabaranpun sama- cuma barangkali menemui pengajaran yang berbeza...dan mohon lah kekuatan dari Nya untuk meneruskan pengembaraan ini kerana Tiada lah Daya Upaya Kita Tanpa Nya...
(pesan saidina Ali: Hitung lah diri setiap kali sebelum tidor...)
Salam Ramdhan al-Mubarak.

Istiqamah...konsisten

pulang dari perjalanan jauh hari ini membuat otakku tepu....ada sesuatu yang perlu ku catatkan sebelum terlupa..istiqamah!

Tuhan memberikan janji bahawa sesuatu usaha itu berhasil jika dan hanya ada nya unsur-unsur Istiqamah dalam pekerjaan tersebut. Tuhan pun istiqamah dalam banyak kejadian-kejadian dan rahmatNya : yang merah itu merah, tetap merah. Durian tetap dirasa durian dalam apa keadaan pun, yang namanya manis itu konsisten dari segi itu. Panas itu panas.

Begitu juga aturan cakrawala ini, turun dan naiknya matahari tetap konsisten pada satu arah....awan yang mengandung air konsisten turun ke bumi....membasahkan tanah dan menyuburkan bumi...

Istiqamah itu mengikut Imam al-Qurtubi ialah “.....hati yang senantiasa lurus dalam ketaatan kepada Allah, baik berupa keyakinan, perkataan, maupun perbuatan, iaitu jalan menuju keberhasilan di dunia dan keselamatan dari azab akhirat. Hati yang istiqamah akan membuat seseorang dekat dengan kebaikan, rezekinya akan dilapangkan. Dengan hati yang istiqamah, maka malaikat akan turun untuk memberikan keteguhan dan keamanan serta ketenangan dari ketakutan terhadap adzab kubur. Hati yang istiqamah akan membuat amal diterima dan menghapus dosa.”

Caranya? meletakkan cinta , membesarkan perintah, mengurus kelalaian dan mendekati ilmuan.... siapakah mereka?

Allah SWT berfirman, “Sungguh dalam kisah-kisah mereka terdapat ibrah (pelajaran) bagi orang yang memiliki akal, ….”


benar kah begitu??

Sunday, August 16, 2009

tasbih untuk ayahanda..


ini yang ku tulis saat aku mengingati dia..


selama beberapa syawal ini, sejak dia pergi meninggalkan ku aku selalu ingat dengan baitbait yang ku kirim sendiri


bahawa syawal ini membuat kita ingat bahawa dalam hidup ini masih ada waktu, hari dan org yang perlu di muliakan...
(ayahku tiga dari kanan - duduk)
aku, yang selalu mengikut kemana dia pergi dari kecil ...berdiri paling kiri di belakang adikku, usiaku kala itu skeitar 7/8 tahun)...aku rindu kan mu ayah...aku ingin bertemu, berbual dan menanyakan satu perkara

AKU

tiba2 teringat sebuah sajak lama karya Chairil Anwar, penulis dari tanah Indonesia..tajuk nya ialah AKU

Aku
bila tiba waktu ku
ku mahu tak seorang pun merayu
tidak jugak kau
tidak perlu sedu sedan itu

aku ini binatang jalang
dari kumpulan nya terbuang
biar peluru menembus kullit ku
aku akan tetap menentang menerjang

luka dan bisa ku bawa berlari
berlari
sehingga hilang pedih peri

dan aku akan tetap tidak peduli
aku ingin hidup seribu tahun lagi...

sumbangan ku ialah dengan menambahkan bait terakhir ini::

"1000 tahun aku hidup dalam setia, hari ini aku ingin mati dalam derhaka"...

Saturday, August 1, 2009

Melangkah ke pusara..

Didalam sebuah hadith sahih meriwayatlan bahawa Ibn Abbas ra menjelaskan bahawa Nabi saw melalui 2 kubur dan berkata - mereka sedang diseksa. Salah seorang dari mereka tidak prihatin dengan air kencing yang terkena pada pakaian dia. Dan seorang lagi pula suka menyebarkan gossip. Kemudian sambung Ibn Abbas ra :-

ثُمَّ أَخَذَ جَرِيدَةً رَطْبَةً فَشَقَّهَا نِصْفَيْنِ فَغَرَزَ فِي كُلِّ قَبْرٍ وَاحِدَةً ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، لِمَ فَعَلْتَ هَذَا ؟ قَالَ : لَعَلَّهُ يُخَفِّفُ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا

"Kemudian baginda meletakkan pelepah tamar yang masih segar dan dipatahkan menjadi dua, dan meletakkan kepada kedua kubur, Mereka berkata : Ya Rasulullah, kenapa anda melakukan ini? Baginda berkata : Moga-moga ia akan menringankan (siksaan) kedua-duanya selama-mana ia tidak kering" [Hadith Riwayat al-Bukhari #218 dan Muslim #292].Alasan beberapa pandangan adalah pelepah tamar yang masih segar itu bertasbih membesarkan Allah swt.

Imam Nawawi mengatakan bahawa ada dikalangan ahli tafsir menjelaskan firman Allah didalam surah al-Isra', ayat 44 ("dan tiada sesuatupun melainkan bang ertasbih dengan memujiNya"). Dikalangan mereka berpendapat bahawa setiap benda yang masih segar seperti pokok, bunga dsb, selama-mana ia tidak kering akan bertsabi kepada Allah.Al-Khattaabi telah mengkritik perbuatan orang lain yang meletakkan daun segar atau seumpamanya diatas kubur diatas alasan mengikuti hadith tersebut. Apa yang terpenting adalah pohon do'a kepada Allah swt agar diringankan dosa-dosa mereka.al-Lajnah al-Daaimah menjelaskan bahawa hadith tersebut khusus bagi Nabi saw, kerana beliau diberi pengetahuan tentang azab yang dihadapi oleh mayat didalam kubur tersebut. Ini adalah kelebihan yang Allah berikan kepada Nabi saw. Para sahabat pun tidak diriwayatkan melakukan perbuatan tersebut! Syiekh Abdul Aziz bin Baaz rh. mengatakan tidak dibenarkan sesiapa yang meletakkan bunga diatas kubur. [Majallat al-Buhuth al-Islamiyyah, 68/50]

Kesimpulannya adalah amalan meletakkan bunga diatas kubur itu bukanlah amalan yang sunatkan. Amalan ini tidak boleh dikaikan dengan hadith Nabi saw yang meletakkan pelepah tamar diatas kubur kerana perbuatan tersebut adalah dikhususkan kepada Nabi saw sahaja.


WALLAHUAKLAM

Tuesday, July 21, 2009

Gerhana Matahari atau gerhana matahati?

hari ini, 22 Julai 2009 Gerhana Matahari dijangka berlaku bermula jam 8.35 hingga 9.40pagi... ada majlis solat sunat di masjid UiTM jam 9 pagi - tapi aku berada di kelas 8.00 - 10.00 pagi. Gerhana ini jarang berlaku, tetapi bantuan teknologi telah memudahkan urusan menjangkakan dengan tepat sekali - Alhamdulillah.

Seorang teman - mungkin kerana agak terkilan -menghantar sms berikut pada ku:

"kenapa tak CAKAP kat kita"?

aku terkedu! antara rasa bersalah dan keliru - sempat mengungkapkan kata maaf.

Tidak lama kemudian, email dibawah ini masuk ke kotak mail:

SOLAT GERHANA

Hukum Solat Gerhana
Ulama telah bersepakat tentang hukum sunat muakkad bagi melaksanakan solat sunat gerhana. Hukum sunatnya adalah sama dengan hukum solat dua hari raya. Solat sunat gerhana pula hanya dilakukan di tempat berlakunya gerhana. Jika saudara kita di satu tempat seperti Afrika Utara mengetahui ramalan akan berlakunya gerhana matahari separuh pada 29 Safar 1428, tetapi gerhana tersebut tidak berlaku d Malaysia, maka umat Islam di Malaysia tidak disunatkan untuk melakukan solat gerhana.
Dalil Pensyariatan
Hukum solat sunat gerhana adalah berdasarkan dalil dari
(1) Surah Fussilat, ayat 37,
لاَ تَسْجُدُواْ لِلشَّمْسِ وَلاَ لِلْقَمَرِ وَٱسْجُدُواْ لِلَّهِ ٱلَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
Maksudnya “Janganlah kamu sujud kepada matahari dan jangan pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah”.
(2) Hadis riwayat Imam Muslim yang maksudnya;
“Sesungguhnya kedua-dua matahari dan bulan adalah daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, tidak berlaku gerhana kerana kematian atau kerana hidupnya seseorang, apabila kalian menyaksikan fenomena gerhana tersebut maka solatlah dan berdoalah”
Menurut Imam Ibrahim al-Baijuri, antara hikmah berlakunya fenomena gerhana ialah sebagai peringatan kepada golongan penyembah matahari dan bulan bahawa kedua-dua matahari dan bulan adalah makhluk yang tunduk dan patuh pada kekuasaan Allah. Jika kedua-duanya adalah tuhan sebagaimana dakwaan mereka, nescaya akan menjaga dirinya daripada kekurangan, lalu mengapakah cahayanya boleh hilang seketika?
Perbezaan Antara Gerhana Bulan dan Gerhana Matahari


1 Gerhana Bulan
Biasanya berlaku pada pertengahan bulan hijri.
Biasanya berlaku pada akhir bulan hijri.
2 Gerhana Matahari
Berlaku pada waktu malam.
Berlaku pada waktu siang.
3 Disunatkan membaca al-Fatihah dan surah secara kuat (jahar).
Disunatkan membaca al-Fatihah dan surah secara perlahan (khafiyy).

Tatacara Sebelum Melaksanakan Solat Sunat Gerhana
Sunat mandi terlebih dahulu.
2. Tidak disunatkan memotong kuku atau bercukur kerana waktu yang sempit.
Sunat juga memakai pakaian yang biasa (pakaian harian), bukan pakaian yang cantik-cantik seperti solat sunat istisqa’ (minta hujan).
Waktu Disunatkan Solat Sunat Gerhana
Waktunya bermula ketika berlakunya gerhana dan berakhir dengan hilangnya gerhana tersebut dan keadaan menjadi seperti sedia kala. Begitu juga tidak diharuskan menambah ruku’ menjadi tiga bagi satu rakaat sekalipun gerhana berlaku panjang, atau memendekkan ruku’ menjadi satu bagi satu rakaat sekalipun gerhana sudah berlalu. Jika gerhana berlalu dan hilang sedang kita masih dalam keadaan bersolat maka dikira sah. Jika gerhana berlaku pada waktu yang ditegah padanya kita bersembahyang, maka dengan sebab gerhana kita disunatkan bersembahyang dan makruh pula meninggalkannya jika kita melihat fenomena gerhana. Ini adalah pendapat di sisi mazhab kita.
Beberapa Peringatan
Tidak perlu azan dan iqamah untuk memanggil jemaah menunaikan solat gerhana tetapi cukup dengan sekadar ucapan : ( الصِّلاَةُ جَامِعَةً )
Sunat menyaringkan suara pada bacaan Fatihah dan surah ketika solat sunat gerhana bulan. Bagi solat sunat gerhana matahari pula disunatkan memperlahankan suara pada bacaan Fatihah dan surah.
Disunatkan mandi untuk solat gerhana, seperti hendak solat Jumaat.
Sunat menyampaikan khutbah (dua khutbah seperti khutbah Jumaat) selepas solat sunat gerhana walaupun gerhana sudah hilang.
Sunat menyampaikan khutbah (seperti khutbah hari raya tetapi tidak disunatkan bertakbir 9 atau 7 kali berturutan pada mukaddimah khutbah).
Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah agar bertaubat daripada maksiat, bersedekah, berbuat kebajikan, banyak berdoa, beristighfar dan berzikir, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingatkan manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya.
Jika dilakukan berseorangan atau jemaah hanya daripada kalangan wanita, maka tidak perlu khutbah (tetapi harus memberi tazkirah kepada jemaah wanita).

PANDUAN RINGKAS SOLAT GERHANA & KHUTBAHNYA

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan
أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari
أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”

Cara & Bilangan Rakaat
Terdapat 3 cara melaksanakan solat sunat gerhana iaitu;
Yang terlebih sempurna ialah dilakukan 2 rakaat dengan setiap rakaat 2 ruku’ dan 2 qiyam yang dipanjangkan bacaan surah dan tasbihnya pada kedua-dua rakaat (Kesimpulannya: jumlah ruku’, qiyam dan sujud adalah sebanyak 4 kali dalam dua rakaat solat sunat gerhana). Ini adalah cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya dan melibatkan masa yang amat panjang. Kadar panjang bacaan surah ialah surah al-Baqarah (286 ayat) dalam qiyam pertama, sirah Aali Imran (200 ayat) dalam qiyam kedua, surah al-Nisa’ (176 ayat) dalam qiyam ketiga, dan surah al-Ma’idah (120 ayat) dalam qiyam keempat). Kadar panjang tasbih ialah sekadar bacaan 100 ayat dalam ruku’ dan sujud pertama, sekadar bacaan 90 ayat dalam ruku’ dan sujud kedua, sekadar bacaan 70 ayat dalam ruku’ dan sujud ketiga, dan sekadar bacaan 50 ayat dalam ruku’ dan sujud keempat.
Yang lebih sempurna dilakukan 2 rakaat dengan 2 kali ruku’ dan 2 kali qiyam, dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat. Ini adalah cara yang sederhana dan tidak memakan masa yang lama.
Sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ini adalah cara dan bilangan rakaat yang paling minimum dan melibatkan tempoh yang singkat.

Huraian Cara Kedua (Sederhana Panjang)
Berikut adalah huraian cara solat gerhana dalam tempoh yang sederhana iaitu sekitar 30-40 minit berdasarkan pengalaman menunaikan solat gerhana bulan pada hari Selasa 15 Syaaban 1428 bersamaan 28 Ogos 2007 lalu. Turut dicadangkan bacaan surah-surah pilihan daripada juzuk ke-30 yang lebih dikenali di kalangan masyarakat kita dengan ’ayat-ayat lazim’.

(Rakaat Pertama)
1. Takbiratul Ihram.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca Isti’azah. (أَعُوْذُ بِالله مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ)
4. Membaca surah al-Fatihah.
5. Membaca surah dalam qiyam pertama. Dicadangkan membaca surah surah al-Baqarah (ayat 1-25) atau surah al-A’laa (19 ayat).
6. Ruku’ (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
7. Iktidal dan qiyam kedua, membaca surah al-Fatihah dan surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 26-48) atau surah al-Ghaasyiyah (26 ayat).
8. Ruku’ (kedua) dengan membaca tasbih (90 kali tasbih).
9. Iktidal.
10. Sujud (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
11. Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
12. Sujud (kedua) dan membaca tasbih (90 kali tasbih).
13. Berdiri ke rakaat kedua.

(Rakaat Kedua)
1. Qiyam ketiga dan membaca surah al-Fatihah.
2. Membaca surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 49-61) atau surah al-Syams (15 ayat).
3. Ruku’ (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
4. Iktidal dan qiyam keempat, membaca surah al-Fatihah dan membaca surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 62-74) atau surah al-Zalzalah (8 ayat).
5. Ruku’ (keempat) dengan membaca tasbih (50 kali tasbih).
6. Iktidal.
7. Sujud (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
8. Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
9. Sujud (keempat) dan membaca tasbih (50 kali tasbih).
10. Membaca tasyahhud akhir.
11. Memberi salam & imam bangun menyampaikan dua khutbah.

RUJUKAN

Abdul Karim Zaidan, Ensiklopedia hukum wanita dan keluarga, Kajian mendalam masalah wanita & keluarga dalam perspektif syariat Islam. Pustaka Dini.
al-Dimyāti al-Bakri, Abū Bakr bin ‘Uthmān bin Muhammad Shattā, Hāshiyat i‘ānat al-tālibin, 1995, Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, jil. 1, hlm. 448.
Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Zād al-ma‘ād fi hady Khayr al-‘ibād, 1994, Cet. ke-27, Beirut: Mu’assasat al-Risālah, jil. 1, hlm. 450-456.
Ibn Qudāmah, Muwaffaq al-Din Abū Muhammad ‘Abd Allah bin Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Qudāmah, al-Mughni, 1992, Cet. ke-2, Kaherah: Hajar li al-Tibā‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzi‘ wa al-I‘lān, jil. 3, hlm. 321-333.
al-Nawawi, Yahyā bin Sharaf, al-Azkār, 1991, cet. ke-3, Madinah: Maktabat Dār al-Turāth & Damsyik: Dār Ibn Kathir, hlm. 291-293.
al-Nawawi, Yahyā bin Sharaf, al-Majmū‘, t.th, Jeddah: Maktabat al-Irshād, jil. 5, hlm. 50-68.
al-Shāfi’i, Taqiy al-Din Abū Bakr bin Muhammad al-Husayni al-Husni al-Dimashqi, Kifāyat al-akhyār fi hall qhāyat al-ikhtisār, 1991, Beirut: Dār al-Khayr, hlm. 151-152.
http://www.islamweb.net/
http://mufti.perak.gov.my/artikel/solat/pdf
www.muis.gov.sg/websites/khutbah/gerhana2000
www.usrahalarusi.kakiblog.com/


Soalan asal teman ku itu ialah , apakah fadhilatnya solat gerhana? rupanya belum terjawab.

....solat ini merupakan simbol ubbudiyah, menifestasi fizikal umat dalam mensyukuri kejadian fenomena alam NYA, menyedari kekuasaan NYA tentang segala gala nya, menginsafi bahawa fenomena ini hanya lah sekecil kecil dari kudratNYA dan memohon dijauhkan daripada marabahaya yang barangkali mungkin datang bersama gerhana ini...

Tiba-tiba tertanya, sempena Ramadhan yang bakal menjelang:

jika soal gerhana ini boleh dikira dengan sedemikian tepat, kenapa Malaysia belum yakin untuk menentukan ketibaan Ramadhan dan Syawal dengan kiraan - tetapi masih menggunakan kaedah rukyah yang dikatakan memakan wang ringgit ratusan ribu....Singapura menggunakan kaedah kiraan ini sejak 10 tahun lalu...aduhai....

Thursday, July 9, 2009

hari jumaat ini - yasin untuk Arwah Ayah

Alfatihah.
Assalamualaikum Wr Wt, Ayah.

Hari ini, 10 Julai 2009, Jumaat , ada lah hari ke 834 ayah pergi meninggalkan kami – berpindah ke alam baqa’. Pergi yang tidak akan kembali ke dunia fana ini lagi.

Detik-detik sebelum ayah pergi terakam dalam tulisan tangan di dada satu kertas kecil di atas meja bilik study di rumah ku...begini:

12 Oktober 2007 Khamis ayah masuk wad, aku cakap guna telefon yus
13 Oktober aku balik kemaman
15 Oktober Pindah ke KT
24 Oktber Raya Puasa
25 Raya ke 2: Hafiz masuk Hospital ayah mula koma
27 11.35 Jumaat ayah meninggal

Bagaimana ayah sekarang? Lama sekali rasa tiada khabar berita dari ayah..

Meskipun saya cuba berulang-ulang kali mencari jawapan nya: di mana ayah atau bagaimana keadaan ayah kini, tetapi saya pasti terus gagal menemui jawapan nya. Saya sangat ingin mengetahui nya kini. Saya juga bukan tidak pernah kehilangan beberapa orang yang sangat saya sayangi sebelum ini, sebelum saya kehilangan ayah. Dan setiap kali saya kehilangan mereka, saya mula bertungkus lumus semula untuk mencari jawapan kepada soalan-soalan itu. Sewaktu kehilangan ayah juga, saya melakukan hal yang sama Tetapi perpisahan kita tempuhari telah menyumbat saya ke penjuru paling gelap, paling payah dan menghibakan. Bahkan, saya semakin pasti yang saya memang perlu ke sana sendiri untuk mendapatkan jawapannya.

Ayah,

Banyak yang ingin saya kongsikan dengan ayah kini, tapi saya tidak tahu bagaimana caranya. Makin lama ayah pergi, di saat saya merasa kehilangan, ia berbaur dengan semakin saya merasa kehadiran ayah dalam jiwa saya. Di antara kami 10 beradik, saya fikir hanya kami berempat saya yang sering mengingati dan menghayati pemergian ayah. Kerana hanya kami berempat saya yang sempat merasa punya ayah dan kasihsayang ayah yang tertumpah.Bahkan pernah hidup bersama ayah, pernah merasa kasih sayang dan pengajaran ayah tentang rahsia hidup ini. Bagi adik adik yang lain, saya tidak merasa mereka terasa kehilangan ayah. Saya lebih percaya yang mereka sudah lama merasa kehilangan ayah.

Ayah,

Pesanan terakhir ayah (atau perbualan akhir) kita pada Ramadhan 1427 H, jam 10.30 malam di HKT, masih terus segar dan makin mendasari pemikiran saya kini.

“Jaga adik-adik.....”

Selepas itu, ayah meneguk air zam-zam yang, barangkali untuk yang terakhir sepanjang hidup ayah.

Jagalah adik-adik!..

Bagaimana ayah? Bagaimana yang ayah mahu kan? Apa yang ayah harapkan dari saya? Atau dari anak-anak ayah yang lain?

Kak Long sudah semakin dewasa.Menjadi isteri dan ibu kepada 3 orang anak. Yang saya kenal dengan pasti ialah Wan Jaznazirul. Sekarang sedang meneruskan pengajian di UIA..meskipun saya juga selalu ke sana tetapi tidak sekalipun saya mengusahakan untuk duduk dan minum-minum dengan nya..berkongsi cerita dan berita. Saya fikir cucu sulung ayah ini tidak punya apa-apa masalah, tentu saja sukses untuk meneruskan kerjaya selepas ini – justeru dia tentu tidak memerlukan pertolongan saya. Anak-anak nya lain tidak saya kenali (atau tidak mengenali saya). Dengan Nazirul sendiri pun saya tidak biasa, semada bertemu, berbual ataupun bergurau. Lebih jauh dari itu ialah kami tidak pernah berbicara atau bertukar fikiran. Meski pun begitu, dia masih seorang kakak, walau pun kemampuan nya sangat terbatas. Saya masih tetap yakin dia akan menghubungi saya jika dia memerlukan bantuan dalam kapasiti penguasaan saya.InsyaALLAH.

Adik Jamaliah di Seberang Perai sekarang. Berbahagia dengan suami dan anak-anak. Dia lah yang paling jauh dari kampung halaman. Menjadi isteri dari seorang Pensyarah Politeknik, saya fikir hidupnya telah terkeluar dari pusaran ganas kemiskinan yang telah kita warisi dari dulu, dari kampung. Anak nya yang sulung akan menjalani pembedahan kecil di kantung kemaluan.

Jalaluddin Helmi? Jalal hilang ayah. Sekali di Kuala Lumpur. Sekali yang lain dia di tempat isteri nya di Pasir Putih. Detik terakhir pertemuan kami (sehingga detik surat ini ditulis) ialah pada kenduri tahlil ayah untuk malam ke3. Selepas itu kami berhubung melalui SMS saja. Itu pun beberapa hari selepas itu. Kini tidak lagi. Selepas dia tidak menjawab SMS pertanyaan saya tentang komitmennya untuk memenuhkan tabung kebajikan ayah yang saya angankan untuk mula dibentuk. Selepas saya mencuba beberapa kali mengirimkan khabar melalui SMS dan dia tidak membalasnya, saya fikir saya tidak lagi diperlukan, dalam hidup dan dimensi pengetahuan nya. Justeru, saya pun mula memadamkan nombor HP nya dari senarai saya. Saya ingin melupakan dia, ayah. Maafkan saya.

Yus (Khairuddin Helmi) dengarnya kembali ke Penjara. Sewaktu dia masih di Kemaman, di rumah Cek. Pada mulanya saya mengharapkan dia mewakili saya untuk menjaga Tok Minah yang masih (dan rasa nya akan terus) tempang kaki sebelah kanan. Dia terjatuh, tersandung pada sebatang kayu yang menghadang jalan nya di satu subuh. Harapan saya pada Yus selalu nya tinggal harapan, ayah. Dia tidak kuat dari dulu. Dari sejak kawan-kawan nya menggantikan adik beradik nya di Banggol Kiri. Dia terseret dari kancah yang teruk kepada bertambah teruk. Saya selalu cuba untuk memberi dia harapan, sokongan dan dokongan. Tetapi ayah, setiap kali saya menemukan pembohongan yang dilakukan, sakit nya memang semakin bertambah dari kepedihan sedia ada sebelum nya. Dia tidak pernah berhenti berbohong ayah. Sedangkan setiap satu pembohongan itu sebenar nya ialah untuk merosakkan dia sendiri, setiap kali pembohongan yang dilakukan, setiap satu nilai kemanusiaan dan keimanan nya terhakis. Justeru, bermula dengan satu pembohongan, satu pembohongan baru diperlukan untuk menutup pembohongan sebelumnya. Barangkali, dalam hidup nya agenda anak dan isteri sudah lama terpadam. Saya sangat simpati kepada Uda, isteri nya dan cucu cucu ayah yang keluar dari rahim isterinya yang memang memerlukan kasih sayang, perhatian dan bimbingan dari seorang ayah.

Saya semakin tidak mengenali dia, ayah. Dia sangat asing dan aneh. Dengan Yus, saya ingin berhenti berharap! Bahkan simpati dan niat baik yang pernah ada untuk Yus dan Uda anak beranak itu lah kemudian nya membunuh perasaan kasih sayang dan kasihan saya...

Pembunuhan itu berlaku tidak lama sebelum Tok Minah meninggal..saya juga percaya ayah telah bertemu tok minah dan berbual panjang – termasuk bagaimana licik nya yus mengambil rantai tok, menggadaikan nya untuk tujuan-tujuan yang ayah sendiri fahami. Di saat itu, takala saya bertanyakan dan menebuskan nya kembali – kata-kata pembohongan pula lah yang terhambur..

Padil (Fadhilah) telah membeli rumah sendiri di Taman Semarak (taman ini bersebelahan dengan kelompok rumah murah Bt 4 Binjai). Dia memang masih menjadi “god father” untuk setiap kesilapan baru yang berlaku – termasuk mengaturkan pernikahan RA dengan Adnan di selatan Siam. Licik sekali dia, mengaturkan satu majlis di rumah saya tanpa kehadiran Ra – membuat saya terleka – beberapa bulan selepas itu, saya pun tahu bahawa tarikh majlis itu lah juga tarikh pernikahan Ra di selatan Siam..sehingga kini pernikahan itu belum didaftarkan secara sah di Malaysia.....

Rabai’at Basriah (Ra) pula telah pun berumah tangga. Menjadi isteri kedua dari seorang lelaki yang pernah satu kelas dengan isteri saya di Sek Rendah Dungun. Roda itu rupanya cepat berpusing.. di ketika saya masih belum lupa kebencian yang pernah ada untuk isteri kedua ayah (Wan Rogayah), kebencian yang sama mungkin tertumpah kepada Ra dari kacamata anak-anak Adnan dari isteri pertama. Dari kabar yang saya dengar, anak-anak Adnan dari isteri pertama nya itu pun berantakan, pencapaian akademik pun merosot, ponteng sekolah dan mereka mula terkenal dengan akhlak dan moral yang semakin hancur.


Siti Asma (Adik Ma), adik bongsu kami dari ibu yang sama - sudah menamatkan kursus Pengajian Seni di USM; Jurusan Seni Halus. Dia adik bongsu yang paling saya harapkan satu ketika dulu. Kerana itu, saya mempertaruhkan nama baik saya mengusahakan agar dia berjaya juga ke Universiti. Sebaik di sana, dia nampak bersemangat dan rajin. Memberikan maklumat-maklumat palsu sehinggakan satu-satu nya tanah pusaka tinggalan tok Dungun terjual buat mengongkosi belanja pengajian nya... jadi di antara kami bertiga yang pernah ke universiti (saya, adik jamaliah dan Ma), dia lah yang paling bernilai tinggi...sekarang menanggung hutang PTPTN dan tanahpun terjual. Saya tidak pasti tentang pencapaian CGPA nya..saya jangka di bawah 2.7


Ayah,
Saya masih tahu dengan pasti bahawa dalam setiap tubuh kami ini darah ayah lah yang mengalir lancar. Kami mewakili warisan dan peribadi ayah yang terpecah...sedikit untuk setiap kami. Tetapi saya tidak tahu kenapa kami menjadi berantakan begini. Saling tidak memaafkan, atau saling mendendami, saling membenci, saling prasangka. Lebih parah ayah, Cek semacam tidak mahu anak anak nya pulih dari sengketa ini – sekurang-kurang nya selepas ayah tiada. Sekarang saya mula mengerti bahawa sikap Cek itu bukan lah sebab ayah, tapi sebab dia sendiri yang tidak menginginkan.

Selepas ayah pergi, saya menganggap apa yang berlaku di dalam keluarga sebagai satu sejarah. Dengan saya yang di anggap mewarisi takhta, saya fikir keadaan akan berubah. Ayah pernah menjadi beban, tetapi ayah, beban itu tidak pergi bersama ayah. Atau bukan ayah yang menjadi beban sebenarnya, tetapi kami sendiri...

Jadi ayah, pesanan ayah itu tak dapat saya laksanakan. Maafkan saya ayah. Anak-anak ayah semua nya sudah dewasa, mampu membuat keputusan sendiri dan menanggung segala risiko yang bakal datang dari nya.....

Dan mungkin seperti yang pernah ayah rasa dan alami, saya telah tersingkir dalam kasihsayang mereka semua .... hari hari kehidupan saya, saya lalui untuk percaya bahawa saya sendirian ..tanpa adik beradik...
....tanpa adik beradik yang saya pernah sayang atau menyayangi saya...

YA ALLAH – berikan aku fatwa, kata kata sakti ; semuga hati ku yang lara tak ku rasai....

Sunday, July 5, 2009

Kembali memugarkan mahasiswi

Waduh, esok hari terakhir tanpa Jadual Kuliah..namun aku masih bergelut dengan beberapa urusan sekolah ku...

terdapat satu ruang dalam waktu waktu ku - ingin mengembalikan identiti diriku disini yang telah lama hilang..iaitu melantun kekuatan aqliah yang aku miliki untuk mencabar mahasiwi supaya melompat keluar dari keronsong keselesaan..semada menarik mereka keluar, atau memberi bara pada ruang yang sedang mereka diami.

yer..mendesak mereka untuk "melalui sendiri" proses belajar dalam kelas ku - untuk melihat mereka kepanasan - menderitakan mereka : kerana manusia hanya mulia kerana mereka menderita...

sewaktu mentari mulai menyingsing ke barat, aku sempat menghadiah kan yassin untuk dua orang, seorang yang sedang terlantar di hospital, seseorang yang lain ialah yang sedang terlantar diranjang kerana kepenatan menjaga seseorang yang terlantar di hosptal tadi...(orang pertama). Muga muga lah mereka berolah keberkatan...tp kenapa yassin?

Friday, July 3, 2009

Berita dari Teman

seorang teman tak jadi datang jumpa aku di KL ini ; sibuk meletakkan huruf-huruf yang dengan nya boleh menentukan kedudukan kerjaya nya (bagiku) , sekadar cari makan (katanya)...cuma sepanjang proses itu, majikan nya memerlukan dia untuk terus menabur kefahaman palsu.....

Seorang teman yang lain - Timbalan Pengarah satu agensi kerajaan - walaupun lama sangat tidak bertemu tetapi pertemuan semula yang singkat itu membuka banyak barah dalam peribadi dan nilai dirinya...dan barah itu mula bernanah...aku termuntah takala dia dengan bangga nya bahawa dia sekarang sudah berada pada gred jawatan 48...uwehhhhhhh...

Bekas rakan sekelas yang sgt rajin (sewaktu diploma itm) seorang korporat nampaknya..sedang mendaki tangga tangga kerjaya dengan lebih yakin - helo - kita tidak perlukan semua kunci, dapatkan kunci pintu depan dahulu....hehehehe

mmm yng lain : akibat darah rendah, ayahnya di tempatkan di hospital......

Wednesday, July 1, 2009

UiTMT, Ucapkan lah selamat kembali pada ku

hari ini, 1 Julai 2009 - melengkapkan 2tahun setengah aku bercuti - mengatur langkah-langkah sebagai pelajar pasca ijazah peringkat tertingggi di dunia ini - PHD... (sinonim nya ialah Permanent Head Damage)..

sepanjang itu - banyak juga kerosakan yang telah aku lakukan, atau sembunyikan - banyak juga pula nilai-nilai diri ku teranjak....ke tahap tertentu - semada ke depan atau ke belakang.....dari sisi yang lain, berada di tahap ini membuat aku selalu berfikiran songsang - semakin menentang arus...tp masih waras sebenarnya..

Alhamdulillah... lama sekali tidak berdepan dengan mahasiswi (rujuk psoting terdahulu), untuk aku lontarkan beberapa persoalan yang membuat mereka keliru dan tersentak! mahu tersenyum melihat wajah-wajah kekeliruan dan keinginan untuk "mencari jawapan" - barangkali itu lah niat ku dari dulu - melahirkan golongan siswi (rujuk posting terdahulu) yang membesar dalam proses "mencari jawapan" bukan pemberi alasan.

so, kampus ku - kenapa "tidak sepatahpun kau ucapkan selamat kembali" pada ku?

Saturday, June 27, 2009

Selamat datang mahasiswi...

semalam, 27 Jun 2009 - adalah hari pendaftaran pelajar baru UiTM seluruh negara, termasuk kampus Terengganu..

aku tiada data tentang jumlah kemasukan kali ini pada ketika ini, jumlah peratusan mengikut jantina memang mudah dijangkakan - seperti 10 tahun lalu 70 - 80% adalah siswi, selebihnya adalah siswa (cuma selepas ni 2 -5% dari peratusan siswa ini akan menampakkan mereka berada di antara kedua nya...).

So, kalian telah melangkah ke alam yang tidak pernah terlangkah sebelum ini, berada dalam kampus yang suatu ketika dulu terkenal sebagai MENARA GADING...suatu rantau yang, selain dari senantiasa berlaku peperangan dalam jiwa, menuntut juga pemenuhan pertanggungjawapan untuk menjadi "pencari ilmu"- suatu tunutan persis jihad dalam ugama kita.

kepada kalian lah usaha memperjuangkan nilai perlu terus menerus di harapkan, meski pun banyak yang tersisih dan terhumban sepanjang pengembaraan itu, tetapi nampaknya tiada lagi tempat lain yang di harapkan... kami yang terdahulu ini cuma mampu menunjuk jalan, perjalanan sebenar harus di lalui sendiri oleh kalian..selamat berjuang mahasiswi ku...

aku mengucapkan "selamat datang kepada mahasiswi" kerana mereka bukan sahaja majoriti, tetapi juga lebih mampu menerobos untuk menjadi kekal doniman - ada upaya untuk kekal berlegar dalam koridor kuasa selama lebih sekurun (sekurang-kurang nya di kampus ini.....)

Thursday, June 25, 2009

1 Rejab yang dilupakan,2 Rejab pun di Rayakan....

Menekur dari kepelbagaian sumber, bulan Rejab memiliki keistimewaannya sendiri. Salah satu nya ialah dari inti sari (matan) hadis “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..” disokong oleh ulama muktabar - antaranya Imam Hibbatullah bin Mubarak dan Dari sisi lain, Allah S.W.T berfirman dalam al-Taubah ayat 36 mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan: Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Imam al-Thabrani, antara lain meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”: sementara itu beliau juga (Imam al-Thabrani) juga meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban.

Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab. Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri.

Hal ini jelas sebagaimana diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien. Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab).

Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)

Imam al-Nawawi mengatakan: “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain.

Justeru, sementara kita yakin bahawa tidak ada larangan berpuasa puasa di bulan Rejab, ia sudah tentu tidak pula disunatkan kerana bulannya, bahhakn yang disunatkan ialah kerana kesunahan puasa terbabit.

Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: “Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi s.a.w menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu darinya.”
Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: “Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) di zaman Jahiliyah. Maka apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. Baginda menjawab : “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.”

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”
Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya yang tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulamak salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab.

Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam agar kita tidak tersasar daripada landasan yang benar.
Dalill yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.
Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita?


sehingga aku lupa bahawa 24 June 2009 adalah 1 Rejab, ada seorang teman yang beraya makan pizza pada 2 rejab....aduhai...

Mengenang Rendra : Membuat Jiwa ku Hangat

RAJAWALI.....

sebuah sangkar besi
tidak bisa mengubah rajawali
menjadi seekor burung nuri

rajawali adalah pacar langit
dan di dalam sangkar besi
rajawali merasa pasti
bahwa langit akan selalu menanti

langit tanpa rajawali adalah keluasan
dan kebebasan tanpa sukma
tujuh langit, tujuh rajawali
tujuh cakrawala, tujuh pengembara
rajawali terbang tinggi memasuki sepi
memandang dunia
rajawali di sangkar besi
duduk bertapa
mengolah hidupnya

hidup adalah merjan-merjan kemungkinan
yang terjadi dari keringat matahari
tanpa kemantapan hati rajawali
mata kita hanya melihat fatamorgana
rajawali terbang tinggi membelah langit dengan setia
dan ia akan mematuk kedua matamu
wahai, kamu, pencemar langit yang durhaka

Monday, June 22, 2009

dari hal Sumpah di bumi Merkah

Takala sebuah kampung di tewaskan oleh musuh, Raja Legur menjadi pemerintah baru. 3 sahabat, Panglima Tamim, Menara dan Lanang tewas juga akhirnya. Panglima Menara melarikan diri, Penglima Lanang mati dibunuh musuh, hanya yang tinggal ialah Penglima Tamim yang di tawan...dailog berikut berlaku sebaik Penglima Tamim di bawa mengadap Raja Legur..

Org2 Raja Legur : Panglima Tamim, sujud Raja Legur! Sembah dia!

Panglima Tamim : Tidak! dia bukan Raja ku

Raja Legur : Tak pa lah Panglima, memang akau bukan raja kau. tp kau tahu apa ertinya perang? Yang memang memerintah, yang kalah menjungjung titah...

Kemudian, org2 Raja Legur membawa masuk janda panglima Lanang untuk "dikorbankan"..kecuali Panglima Tamim bersetuju bekerja dengan kerajaan baru pimpinan Raja Legur...

Waktu persetujuan itu di capai, Raja Legur ketawa kecil, dan mengungkapkan :

"ini kah watak sebenar panglima, Panglima Tamim..kita berkongsi kelemahan yang sama rupanya - mudah lemah kepada kaum yang lemah"

itu lah keredhaan......

Sunday, June 14, 2009

hubungan hati..

kebanyakan filem2 hindustan membuat aku termenung berhari-hari , mencari makna dari setiap bait2 yang terucap.walaupun dominasi nya ialah kisah percintaan antara dua darjat, tetapi mereka memberikan dimensi yang sangat luas dalam plot2 yang tersusun..melangkaui definisi cinta dalam bab pemuda pemudi....sesuatu yang gagal dicerapi dengan baik oleh para karyawan Malaysia.

sebermula dengan target khalayak di negara dunia ketiga, filem-filem hindustan kini sehebat karya terbitan Hollywood - pasaran mereka pun keseluruh dunia - sehingga artis2 mereka sehebat golongan ningrat (di indonesia), atau tengku2 (di sini) atau jutawan - atau raja -raja di negara mereka sendiri. Pengaruh mereka pun perghhhhhh .....


Rahsianya? mereka memperjuangkan nilai sejagat - kemanusiaan - bukan sekadar "cinta monyet" yang di perjuangkan oleh banyak karyawan dirantau Semenanjung MAlaysia...

contohnya bait-bait lagu dari filem hindustan : ...hubungan hati ialah hubungan yang tinggi darjat nya....... (patutnya seorg kenalan ku - yang bergelar Prof kini -- meminati HINDI HIT THR 8-12 setiap malam) bagai nak rakkk, seperti juga aku tidak akan pernah melepaskan untuk menonton P.Ramlee.....

bagaimanakah graduan akademi seni di didik untuk menjadi pejuang kemanusiaan, bukan hanya sekadar seni untuk seni?

Thursday, June 11, 2009

Cuti Sekolah kali ini

Beberapa significant untuk di ingati...

i. Menemukan keluarga kakak ipar

Seorang kakak yang punyai sifat keibuan, mampu saja menggantikan arwah ibu mertua yang telah pergi hampir setahun lalu. Dia kematian suami 3 4 tahun yang lalu....ketiga tiga anak nya masih belajar, dua di UiTM 1 di Pulau Pinang, FMI ..

kali ini tak banyak bicara kecuali beberapa pertemuan resmi dalam khlayak keluarga, tidak seperti sebelumnya yang selalu nya ada sesi diskusi yang hebat....

ii. Mengenali air terjun Cemerong

Air terjun terbaik yang terdapat di sebelah rantau sini, 7 tingkat terjunan yang bolah nampak memutih dari jarak 2 atau 3 kilometers..cantik kan?
2 jam menghabiskan waktu sebenarnya mampu memulihkan tenaga untuk bangun dari ketakutan-ketakutan beberapa bulan lalu...

iii. Menyuntik kebijaksanaan

Terlibat sebagai panel pemikir anjakan kecermerlangan akademik dungun secara resmi mewakili UiTM Terengganu adalah pengalaman baru bagi ku. Pengalaman baru untuk berada di luar pagar kampus tetapi masih dalam sempadan daerah....Ia memerlukan keupayaan berfikir secara lebar untuk menterjemahkan kebijaksanaan dalam mangkuk yang kecil...hehehe


iv. Memasuki bab baru pHD

Ini pelan yang sentiasa bergerak..dari sebermula 6 Bab, sekarang aku sedang menekuni bab 8, analisa data survey - kuantitatif..2 bab terakhir terasa tidak begitu berat - ia sekadar discussion on the result dan bab 10 - conclusion limittations and direction for future research (yg kerangka nya sudah ada di usahakan sebelum ini).


v. Mengenali pemikiran Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Shah Alam

Semalam 10 Jun, 2 jam dikurung dalam Dewan Gadung Uitm - diminta menyampaikan ceramah Kepimpinan untuk CADEM UiTM Shah Alam -- seronok.


iv. Menyedari aku telah kurang bertenaga.
Semlam juga, (7-9 mlam) hadir di gelanggang badminton tepi rumah..bertarung dengan anak-anak - kalah dua dua set......penat layan budak2 ni yang 4 tahun dulu aku selalu menang .....


Waduh....2 minggu yang padat...kali ini lebih bermakna...kerana dimensi nya melebar....

Wednesday, June 10, 2009

Meraikan Dunia.....

terlibat sebagai Panel Pemikir Anjakan Kecermerlangan Akademik Dungun memberikan aku motivasi luarbiasa...merasa sedikit berharga dan diperlukan..

Mengetuai sekelompok manusia terpilih dari pelbagai organisasi: UiTM, Politeknik dan PPD (badan naungan sekolah)..aku berdepan dengan beberapa org dari latar kefahaman yang berbeza...kebanyakan punyai pengalaman luarbiasa dari skop tertentu.....20 tahun pengalaman katanya...

Aku? tak banyak pengalaman...barangkali kerana aku selalu melalui jalan yang sama (contohnya selalu berulang alik dari Dungun ke KL) tak banyak benda baru yang ku lalui setiap perjalanan itu kecuali beberapa nilai berbeza yang cuba ku ungkapkan dari gambar yang sama...
Cuma di akhir sesi, aku juga lah yang di pilih sebagai Sekretariat..

di sudut yang lain...aku gagal untuk membygkan kenapa kah kita menghabiskan terlalu banyak waktu untuk meraikan dunia (yang diterjemahkan dalam hal-hal politik, business atau lain-lain)...dan kita mengenepikan banyak nilai-nilai kemanusiaan yang dominan (seperti bertanya khabar atau say hello)?

.....sedangkan dunia ini akan gersang dan tandus tanpa kemanusiaan..bukankah kasih syg dan ingatan itu menjadi satu tanda kewujudan kemanusiaan dalam diri manusia?

benarkah kita memang begitu.? atau sengaja ingin menyampaikan msg lain?

Saturday, June 6, 2009

SURAH AL Mulk

(al Mulk beerti "Kuasa Pemerintahan", merupakan Surah yang ke-67, mengandungi 30 ayat.)

Di antara isi kandungannya yang terpenting ialah ia menegaskan tentang kekuasaan mutlak Allah s.w.t. dalam menguasai pemerintahan dunia dan akhirat. Seluruh alam telah diciptakan-Nya dengan sedemikian rapi tanpa sebarang cacat celanya. Di akhirat kelak, mereka yang kufur ingkar akan mendapat balasan azab yang amat buruk dan menggerunkan, ketaatan akan mendapat keampunan dan balasan yang sebaik-baiknya.

Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan tentang fadhilat, faedah dan hikmah bagi mereka yang mengamalkan membaca surah Al-Mulk ini. Di antaranya diriwayatkan oleh Abu Daud, At Tarmizi, An Nasa’i dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah yang bermaksud:

“Sesungguhnya di dalam Al Quran terdapat tiga puluh ayat yang kandungannya akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya sehingga ia akan mendapat keampunan dosanya iaitu Surah Al Mulk.”

Daripada Ibnu Abbas r.a., seseorang sahabat Rasulullah s.a.w. menceritakan ia telah mendirikan khemah di atas sebuah kuburan yang tidak beliau ketahui. Dari kuburan itu beliau terdengar suara orang membaca surah Al-Mulk sehingga khatam; justeru beliau menemui baginda Rasulullah dan berkata:

“Wahai Rasulullah, saya dirikan khemah di atas sebuah kubur yang saya tidak ketahui, saya mendengar seorang sedang membaca Surah Al Mulk sehingga khatam.”

Maka Nabi s.a.w. bersabda: “Itulah yang menahan (Al-Maa’inah) dan yang menyelamatkan (Al-Manjiah) dia dari siksa kubur.”
(HR At Tarmizi)

Satu riwayat lain daripada Jabir r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak akan tidur sehingga baginda membaca surah Alif Lam Miim Al Sajdah dan Al Mulk.
(HR At Tarmizi)

Daripada Anas Ibnu Malik berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu surah di dalam Al Quran menghadiahkan kepada pembacanya sehingga memasukkannya ke dalam syurga iaitu Tabarak-al-llazhi.”(Surah Al-Mulk)
(HR At Tabrani)

An-Nasa’i pula meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah Al Mulk setiap malam maka Allah mencegahnya daripada azab kubur.”

Tentang surah ini ada satu riwayat yang lain menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hatiku menghendaki supaya surah ini berada didalam setiap hati orang-orang yang beriman.”

Mengikut satu hadis, seseorang yang membaca dua surah iaitu Tabarak-al-lazhi dan Alif-Lam-Mim-Sajdah di antara sembahyang Maghrib dan Isya adalah seumpama sesorang yang berdiri sembahyang untuk sepanjang malam Lailatul-Qadar. Adalah diberitakan juga bahawa jika seseorang itu membaca dua surah ini, tujuh puluh kelebihan akan diperolehinya dan tujuh-puluh dosa-dosa akan dihapuskan. Mengikut riwayat yang lain, jika seseorang itu membaca dua surah ini, ganjaran pahalanya adalah menyamai orang yang berdiri sembahyang sepanjang malam ‘Lailatul-Qadar’. Ini juga telah disebutkan di dalam Mazahir.

Ta’us rahmatullah ‘alaih telah berkata: “Kedua-dua surah ini mendatangkan enam-puluh kelebihan-kelebihannya yang mengatasi daripada segala surah-surah.”

Siksaan di dalam kubur bukanlah satu perkara yang biasa. Setelah meninggal dunia, tingkat pertama seseorang itu mesti lalui ialah alam barzakh. Apabila Saidina Uthman r.a. berdiri diatas sebuah kubur, ia akan menangis dengan begitu sekali sehinggalah janggutnya dibasahi air-matanya. Seseorang telah bertanya kepadanya mengapakah menangis begitu rupa jika disebut kubur daripada disebutkan Syurga atau Neraka.

Ia menjawab, “Aku telah mendengar dari Rasulullah s.a.w. berabda bahawa kuburlah tempat persinggahan yang pertama untuk menuju akhirat. Barangsiapa terselamat daripada azabnya , peristiwa-peristiwa selanjutnya akan mudah baginya. Dan sesiapa yang tidak selamat daripada azab di dalamnya, kepadanya peristiwa yang akan datang kelak menjadikan lebih sukar sekali. Dan daku juga mendengar bahawa tidak ada satu gambaran yang lebih menakutkan dan menggerunkan selain daripada apa yang ada didalam kubur.”

Seseorang selalu mengingatkan aku tentang nya, seseorang itu juga selalu membuat aku ingat pada dia.....al-mulk lah yang mula menyalakan ingatan itu....

Wednesday, June 3, 2009

Berhentilah bermain.....

Terjumpa puisi lama yang gagal untuk disiarkan beberapa tahun dahulu...

berhenti lah bermain, menjadi pahlawan
(untuk seluruh warga MALAYSIA sempena 50 Tahun Kemerdekaan Negara)

berhenti lah bermain
berhentilah bermain, menjadi pahlawan
kerana aku khuatir
kami semua akan nanti semakin kehilangan pejuang !

berhentilah bermain menjadi helang
terbang tinggi ke seluruh alam, sambil-sambil mencerita bagaimana engkau mencapai awan, menggenggam bulan
kerana aku bimbang, sedang
kita terpesona berbicara tentang angkasa dan langit tinggi
bumi yang sekali sekala engkau bertenggek ini
semakin mengecil dan tidak mencukupi

berhentilah,
berhentilah bermain menjadi puyuh
menyelongkar ke tanah seberang, meneroka ke kawasan orang
kerana aku takut
daerah kita yang semakin mengecil ini boleh menjadi semakin kering, tandus dan kehilangan rumput

berhentilah, berhentilah bermain menjadi seluang terlincah di tasik terbentang; berenang dan menyelam ke hujung tebing, ke pinggir lurah
kerana aku bimbang
baung dan temoleh sedang tidak pernah berubah
untuk melihat kita masih sebagai seluang
berhentilah, berhentilah

Berhentilah bermain menjadi pahlawan
Kerana aku bimbang
Kemerdekaan ini hanya seperti pesta-pesta
pesta-pesta hanya permainan
permainan hanya hiburan
hiburan hanya sirna

berhenti lah bermain menjadi pendekar
mengacah ngacah langkah tatkala rebana dan nafiri menyentuh naluri
berhentilah bermain
kerana dengan bermain itu saja pun
kemerdekaan ini semakin kosong
lima puluh tahun ini menjadi sia sia,
menjadi sirna, kehilangan makna...

DUNGUN, TERENGGANU DARUL IMAN
25 MAY 2007

Sunday, May 24, 2009

seorang tua dari hutan...


orang ini adalah bapa saudara dari seorang teman rapat semasa aku mengikuti pengajian Diploma di UiTM (dulu itm). aku lupa nama nya, kerana sangat biasa dengan panggilan Ayah We..

ayah we seorang bekas guru pelawat ugama negeri Pahang, tetapi kini menghabiskan hari-hari pencen dengan merayau kesana ke sini mencari teman lama dan baru. Menangisi kematian isteri pertama selama hampir dua tahun, sebelum memutuskan untuk menikah semula..Sekarang menguruskan rumahtangga di kg Cheneh...

Belum pun sampai 30 min aku cuba melayan perasaan nya, hampir semua persoalan yang kusut dalam kepala nya selama lebih 20 tahun tidak bertemu nya, terbentang di depan ku. Betapa risau dia dalam mendepani anak-anak nya yang semua nya sudah dewasa dan berumahtangga, kerana setiap satu memberi dia "rahsia hidup" yang berbeda ("rahsia hidup" itu ialah dari bahasa yang dia ungkapkan sendiri)...maksudnya setiap seorang anak memberi dia masalah yang berbeda..

Semalam, aku di KB - mengurus kan satu "rahsia hidup' salah seorang anak ku. Pagi ni, seseorang mengongsi satu lagi "rahsia hidup" salah seorang anak nya...

aku selalu ingin kembali kepada alamiah (nature), untuk sebentar menghimpun resah dan menghumbankan gelisah ke sisir air, sementara meneliti "rahsia hidup" yang tersembunyi ini...

tetapi ; sepanjang di Lubuk Yu (26 April 2009 jam 530 - 700 petang), Ayah we tak henti-henti menyebut kan "Jusoh, jusoh kena keluar 40 hari"....





Saturday, May 23, 2009

Bagaimana aku mendapat nama (2)





Jamaluddin (Al Afghani)

Nama sebenarnya ialah Jamaluddin Bin Safdar tetapi beliau lebih dikenali dengan nama Jamaluddin Al Afghani. Nasabnya sampai kepada Ali Al-Tirmizi, seorang ahli hadith yang terkenal, lalu terus sampai titisannya kepada Saiyidina Hasan Bin Ali Bin Abu Talib. Keluarganya berkuasa dan memerintah sebahagian tanah Afghanistan hingga akhirnya kekuasaan mereka dirampas oleh Raja Muhammad Khan. Kemudian bapanya serta ahli keluarganya pun dipindahkan ke kota Kabul.

Jamaluddin dilahirkan disebuah kampung bersama Asad Abad dalam jajahan negeri Iran pada tahun 1839 Masihi. Menurut cerita, bapanya adalah seorang pegawai tentera Iran. Pada suatu ketika ia dihantar bertugas di sempadan negeri Afghanistan, bapanya tertarik dengan negeri itu lalu bermastautin disana. Semasa kecilnya lagi Jamaluddin telah mendapat didikan agama yang mantap. Dan memang dari sejak kecilnya lagi beliau mempunyai bakat dan kecerdasan otak, pintar dan berpandangan jauh. Pada mulanya beliau belajar tentang ilmu bahasa Arab seperti nahu, saraf dan sastera lalu mengkaji pula ilmu-ilmu syariat seperti tafsir, hadith, feqah, usul fiqh, ilmu kalam, tasauf, sejarah, falsafah, mantik, politik, akhlak, ilmu jiwa, ilmu falak dan teori-teori kedoktoran ilmu kajian tubuh manusia (waduh waduh...).

Setelah selesai pengajiannya, Jamaluddin pun merantau ke India dan di sanalah beliau mempelajari ilmu matematik peringkat tinggi mengikut cara dan sistem moden. Pada tahun 1857 Masihi, Jamaluddin telah pergi menunaikan fardu Haji dan tinggal di Hijaz selama setahun. Setelah itu beliau telah merantau ke Baitulmaqdis, dan selepas melawat negeri Iraq dan Iran, beliau pun kembali ke negerinya melalui Baluchistan. Semasa pengembaraannya ke negeri-negeri Islam pada waktu itu Jamaluddin berasa sangat sedih sekali mengenangkan keadaan yang menimpa umat Islam di negeri-negeri yang dilawatinya.

Sekembali ke negerinya, Jamaluddin telah berkhidmat dengan pemerintah kerajaan. Dalam masa pemerintahan inilah kerajaan Inggeris telah memainkan jarum untuk memecah belahkan rakyat dengan rajanya hingga terjadi pelbagai fitnah dan perbalahan diantara keluarga diraja sendiri sehingga akhirnya Mohammad A'azan Khan dapat menguasai kota Kabul dan Jamaluddin dilantik menjadi orang pertama bertanggungjawab menasihatkan pemerintah Mohammad A'azam Khan.

Dengan sebab pelbagai fitnah dan usaha jahat yang dilakukan oleh Inggeris itu telah menjadikan Jamaluddin sangat benci terhadap kerajaan Inggeris lalu beliau menyeru kaum Muslimin supaya bangkit menentang penjajahan Inggeris hingga dapat diusir keluar dari negeri-negeri Islam yang didudukinya. Walaupun dengan berbagai tipu helahnya pihak Inggeris berjaya juga mencetuskan pergaduhan di antara keluarga diraja serta membeli ketua-ketua kabilah, memberi rasuah agar menkhianati Mohammad A'azam.

Akhirnya Pemerintah Muhammad A'azam mengalah lalu lari ke negeri Iran dan meninggal di kota Naisaboor tidak lama kemudiannya. Walaupun Jamaluddin tidak ikut sama melarikan diri tetapi akhirnya beliau membuat keputusan untuk keluar meninggalkan tanah airnya kerana merasakan dirinya tidak selamat dengan tipu-helah pemerintah. Jamaluddin tidak menetap di sebuah negeri sahaja bahkan beliau berpindah-pindah menyebarkan seruan dan pengajarannya ke mana sahaja beliau pergi. Beliau telah melawat negara-negara Arab, Mesir, Turki, Iran, Iraq, negeri Eropah, Rusia, England dan dari Paris hingga ke Amerika. Jamaluddin juga telah menulis pelbagai masalah dan krisis di majalah-majalah dan surat-surat khabar di negeri-negeri Arab dan Eropah. Beliau fasih dan petah berbahasa Arab, Parsi, Turki, Inggeris, Perancis dan Rusia hingga menyebabkan beliau mudah bercampur gaul dengan ahli-ahli fikir dan tokoh-tokoh sastera, falsafah dan politik ditimur dan dibarat.

Pengalaman, pemikiran serta keahliannya itulah yang menjadikan diri beliau sebagai seorang tokoh besar dunia diwaktu itu. Ketika beliau berada di Mesir, beliau telah bertugas di University AI Azhar. Disebabkan pengaruhnya yang mendalam serta pengalamannya yang sangat meluas, kuliah-kuliah syarahannya telah mendapat sambutan yang hangat dari golongan cerdik pandai. Di mana tempat pun beliau memberi syarahannya maka orang ramai akan datang membanjiri tempat itu. Bidasannya yang tajam dan hebat terhadap pihak kuasa Barat telah menyebabkan pihak Khedive Mesir berasa curiga terhadap beliau hingga akhirnya Jamaluddin telah diusir keluar dari bumi Mesir.

Semasa di Mesir, Jamaluddin telah memberi semangat dan dorongan kepada sesiapa sahaja yang bergaul dengannya manakala ilmu pengajarannya yang dinamik dan repolusioner itu telah meninggalkan kesan serta pengaruh yang mendalam terutamanya kepada dua tokoh intelektual Mesir ketika itu. Seorang daripadanya ialah Saud Zaghlul Pasha yang berazam untuk membebaskan negerinya dari kuasa penjajahan dan seorang lagi ialah Shaikh Mohammad Abduh yang menjadi muridnya yang setia.

Dari Mesir, Jamaluddin AI Afghani telah pergi pula ke negeri Turki dimana tokoh-tokoh terkemuka di sana sangat terpengaruh oleh pengajaran-pengajarannya. Pada tahun 1871 beliau sekali lagi telah kembali ke negeri Mesir lalu menghabiskan masanya bagi membangkitkan semula kegemilangan umat Islam dan ajaran-ajarannya. Tidak lama selepas itu beliau telah mengkhidmatkan dirinya dalam kerja?-kerja kebajikan dan pendidikan. Beliau telah menggesa pihak yang berkenaan supaya bukan sahaja mengiktirafkan bahasa Urdu sebagai bahasa pengantar dalam pentadbiran pemerintah bahkan juga untuk menjadikannya sebagai bahasa rasmi negara. Akibat dari keberaniannya itu beliau telah ditangkap lalu dihantar ke Culcutta. Dari sana Jamaluddin telah belayar pula ke England. Tetapi tidak lama kemudian beliau telah menyeberang Selat Inggeris lalu tiba ke negeri Perancis.

Dikota Paris, Jamaluddin telah mengasaskan Badan "Pertubuhan Alurvatul Vusuka" lalu menerbitkan sebuah akhbar mingguan dalam bahasa Arab yang bertujuan untuk mengobarkan gerakan Pan-Islamisme. Fahaman yang hendak ditanamkan oleh AI Afghani melalui akhbar itu ialah seluruh negara-negara Asia umumnya dan Islam khususnya akan menjadi mangsa penjajahan Barat satu demi satu kecuali mereka mengorak langkah untuk menyatukan tenaga untuk mengalahkan cita-cita mereka yang jahat itu.
Dari kota Paris Jamaluddin Al Afghani telah ke Moscow dan kemudian ke bandar St.Petersburg dimana beliau telah tinggal lebih dari empat tahun. Di sana beliau telah berjaya memujuk Maharaja Czar Russia bagi membenarkan rakyatnya yang beragama Islam supaya menerbitkan serta menggunakan Kitab Al Qur'an dengan bebas serta juga buku-buku agama yang lain. Al Afghani telah menekankan satu hakikat bahawa keteguhan sesebuah negara tidak bergantung kepada tenteranya bahkan kepada semangat rakyatnya, akhlak mereka serta keteguhan perpaduan mereka.

Bentuk pengajaran Jamaluddin Al Afghani tersimpul dalam dua kesimpulan. Pertama beliau menekankan supaya pengajaran agama Islam itu diperbaiki supaya sesuai dan dapat mengikuti tamadun moden dan kedua bertujuan untuk membebaskan negara-negara Islam di Timur dari cengkaman kekuasaan Barat. Beliau sentiasa berpendapat bahawa umat Islam telah merosot akhlaknya dan lemah semangat serta dikuasai oleh hawa nafsu yang buas. Beliau menaruh keyakinan penuh bahawa kekuasaan negara Barat ke atas negara-negara Islam adalah amat bahaya dengan keadaan demikian jika umat Islam tidak berubah, mereka pasti akan menerima nasib yang lebih buruk lagi. Oleh yang demikian umat Islam hendaknya bangkit untuk mengembalikan maruah agama dan diri mereka sebagai umat yang mulia lagi terpuji.

Pejuang Islam yang gigih lagi dinamik ini telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dibandar Konstantinople, iaitu kota Istanbul sekarang pada 9 haribulan Mac 1897. Semoga Allah s.w.t mencucuri RahmatNya keatas rohnya dan menerima segala amalnya yang soleh.

Begitulah tokoh yang telah dianggap telah menanamkan satu benih yang cukup subur dalam jiwa umat Islam supaya berjiwa merdeka menentang dan berhadapan musuh-musuh Allah. Dari situ lah pangkal pertama nama ku di ambil..


..ayah ayah....betapa tinggi nya nama ini dalam lapisan harapan mu..