Thursday, July 9, 2009

hari jumaat ini - yasin untuk Arwah Ayah

Alfatihah.
Assalamualaikum Wr Wt, Ayah.

Hari ini, 10 Julai 2009, Jumaat , ada lah hari ke 834 ayah pergi meninggalkan kami – berpindah ke alam baqa’. Pergi yang tidak akan kembali ke dunia fana ini lagi.

Detik-detik sebelum ayah pergi terakam dalam tulisan tangan di dada satu kertas kecil di atas meja bilik study di rumah ku...begini:

12 Oktober 2007 Khamis ayah masuk wad, aku cakap guna telefon yus
13 Oktober aku balik kemaman
15 Oktober Pindah ke KT
24 Oktber Raya Puasa
25 Raya ke 2: Hafiz masuk Hospital ayah mula koma
27 11.35 Jumaat ayah meninggal

Bagaimana ayah sekarang? Lama sekali rasa tiada khabar berita dari ayah..

Meskipun saya cuba berulang-ulang kali mencari jawapan nya: di mana ayah atau bagaimana keadaan ayah kini, tetapi saya pasti terus gagal menemui jawapan nya. Saya sangat ingin mengetahui nya kini. Saya juga bukan tidak pernah kehilangan beberapa orang yang sangat saya sayangi sebelum ini, sebelum saya kehilangan ayah. Dan setiap kali saya kehilangan mereka, saya mula bertungkus lumus semula untuk mencari jawapan kepada soalan-soalan itu. Sewaktu kehilangan ayah juga, saya melakukan hal yang sama Tetapi perpisahan kita tempuhari telah menyumbat saya ke penjuru paling gelap, paling payah dan menghibakan. Bahkan, saya semakin pasti yang saya memang perlu ke sana sendiri untuk mendapatkan jawapannya.

Ayah,

Banyak yang ingin saya kongsikan dengan ayah kini, tapi saya tidak tahu bagaimana caranya. Makin lama ayah pergi, di saat saya merasa kehilangan, ia berbaur dengan semakin saya merasa kehadiran ayah dalam jiwa saya. Di antara kami 10 beradik, saya fikir hanya kami berempat saya yang sering mengingati dan menghayati pemergian ayah. Kerana hanya kami berempat saya yang sempat merasa punya ayah dan kasihsayang ayah yang tertumpah.Bahkan pernah hidup bersama ayah, pernah merasa kasih sayang dan pengajaran ayah tentang rahsia hidup ini. Bagi adik adik yang lain, saya tidak merasa mereka terasa kehilangan ayah. Saya lebih percaya yang mereka sudah lama merasa kehilangan ayah.

Ayah,

Pesanan terakhir ayah (atau perbualan akhir) kita pada Ramadhan 1427 H, jam 10.30 malam di HKT, masih terus segar dan makin mendasari pemikiran saya kini.

“Jaga adik-adik.....”

Selepas itu, ayah meneguk air zam-zam yang, barangkali untuk yang terakhir sepanjang hidup ayah.

Jagalah adik-adik!..

Bagaimana ayah? Bagaimana yang ayah mahu kan? Apa yang ayah harapkan dari saya? Atau dari anak-anak ayah yang lain?

Kak Long sudah semakin dewasa.Menjadi isteri dan ibu kepada 3 orang anak. Yang saya kenal dengan pasti ialah Wan Jaznazirul. Sekarang sedang meneruskan pengajian di UIA..meskipun saya juga selalu ke sana tetapi tidak sekalipun saya mengusahakan untuk duduk dan minum-minum dengan nya..berkongsi cerita dan berita. Saya fikir cucu sulung ayah ini tidak punya apa-apa masalah, tentu saja sukses untuk meneruskan kerjaya selepas ini – justeru dia tentu tidak memerlukan pertolongan saya. Anak-anak nya lain tidak saya kenali (atau tidak mengenali saya). Dengan Nazirul sendiri pun saya tidak biasa, semada bertemu, berbual ataupun bergurau. Lebih jauh dari itu ialah kami tidak pernah berbicara atau bertukar fikiran. Meski pun begitu, dia masih seorang kakak, walau pun kemampuan nya sangat terbatas. Saya masih tetap yakin dia akan menghubungi saya jika dia memerlukan bantuan dalam kapasiti penguasaan saya.InsyaALLAH.

Adik Jamaliah di Seberang Perai sekarang. Berbahagia dengan suami dan anak-anak. Dia lah yang paling jauh dari kampung halaman. Menjadi isteri dari seorang Pensyarah Politeknik, saya fikir hidupnya telah terkeluar dari pusaran ganas kemiskinan yang telah kita warisi dari dulu, dari kampung. Anak nya yang sulung akan menjalani pembedahan kecil di kantung kemaluan.

Jalaluddin Helmi? Jalal hilang ayah. Sekali di Kuala Lumpur. Sekali yang lain dia di tempat isteri nya di Pasir Putih. Detik terakhir pertemuan kami (sehingga detik surat ini ditulis) ialah pada kenduri tahlil ayah untuk malam ke3. Selepas itu kami berhubung melalui SMS saja. Itu pun beberapa hari selepas itu. Kini tidak lagi. Selepas dia tidak menjawab SMS pertanyaan saya tentang komitmennya untuk memenuhkan tabung kebajikan ayah yang saya angankan untuk mula dibentuk. Selepas saya mencuba beberapa kali mengirimkan khabar melalui SMS dan dia tidak membalasnya, saya fikir saya tidak lagi diperlukan, dalam hidup dan dimensi pengetahuan nya. Justeru, saya pun mula memadamkan nombor HP nya dari senarai saya. Saya ingin melupakan dia, ayah. Maafkan saya.

Yus (Khairuddin Helmi) dengarnya kembali ke Penjara. Sewaktu dia masih di Kemaman, di rumah Cek. Pada mulanya saya mengharapkan dia mewakili saya untuk menjaga Tok Minah yang masih (dan rasa nya akan terus) tempang kaki sebelah kanan. Dia terjatuh, tersandung pada sebatang kayu yang menghadang jalan nya di satu subuh. Harapan saya pada Yus selalu nya tinggal harapan, ayah. Dia tidak kuat dari dulu. Dari sejak kawan-kawan nya menggantikan adik beradik nya di Banggol Kiri. Dia terseret dari kancah yang teruk kepada bertambah teruk. Saya selalu cuba untuk memberi dia harapan, sokongan dan dokongan. Tetapi ayah, setiap kali saya menemukan pembohongan yang dilakukan, sakit nya memang semakin bertambah dari kepedihan sedia ada sebelum nya. Dia tidak pernah berhenti berbohong ayah. Sedangkan setiap satu pembohongan itu sebenar nya ialah untuk merosakkan dia sendiri, setiap kali pembohongan yang dilakukan, setiap satu nilai kemanusiaan dan keimanan nya terhakis. Justeru, bermula dengan satu pembohongan, satu pembohongan baru diperlukan untuk menutup pembohongan sebelumnya. Barangkali, dalam hidup nya agenda anak dan isteri sudah lama terpadam. Saya sangat simpati kepada Uda, isteri nya dan cucu cucu ayah yang keluar dari rahim isterinya yang memang memerlukan kasih sayang, perhatian dan bimbingan dari seorang ayah.

Saya semakin tidak mengenali dia, ayah. Dia sangat asing dan aneh. Dengan Yus, saya ingin berhenti berharap! Bahkan simpati dan niat baik yang pernah ada untuk Yus dan Uda anak beranak itu lah kemudian nya membunuh perasaan kasih sayang dan kasihan saya...

Pembunuhan itu berlaku tidak lama sebelum Tok Minah meninggal..saya juga percaya ayah telah bertemu tok minah dan berbual panjang – termasuk bagaimana licik nya yus mengambil rantai tok, menggadaikan nya untuk tujuan-tujuan yang ayah sendiri fahami. Di saat itu, takala saya bertanyakan dan menebuskan nya kembali – kata-kata pembohongan pula lah yang terhambur..

Padil (Fadhilah) telah membeli rumah sendiri di Taman Semarak (taman ini bersebelahan dengan kelompok rumah murah Bt 4 Binjai). Dia memang masih menjadi “god father” untuk setiap kesilapan baru yang berlaku – termasuk mengaturkan pernikahan RA dengan Adnan di selatan Siam. Licik sekali dia, mengaturkan satu majlis di rumah saya tanpa kehadiran Ra – membuat saya terleka – beberapa bulan selepas itu, saya pun tahu bahawa tarikh majlis itu lah juga tarikh pernikahan Ra di selatan Siam..sehingga kini pernikahan itu belum didaftarkan secara sah di Malaysia.....

Rabai’at Basriah (Ra) pula telah pun berumah tangga. Menjadi isteri kedua dari seorang lelaki yang pernah satu kelas dengan isteri saya di Sek Rendah Dungun. Roda itu rupanya cepat berpusing.. di ketika saya masih belum lupa kebencian yang pernah ada untuk isteri kedua ayah (Wan Rogayah), kebencian yang sama mungkin tertumpah kepada Ra dari kacamata anak-anak Adnan dari isteri pertama. Dari kabar yang saya dengar, anak-anak Adnan dari isteri pertama nya itu pun berantakan, pencapaian akademik pun merosot, ponteng sekolah dan mereka mula terkenal dengan akhlak dan moral yang semakin hancur.


Siti Asma (Adik Ma), adik bongsu kami dari ibu yang sama - sudah menamatkan kursus Pengajian Seni di USM; Jurusan Seni Halus. Dia adik bongsu yang paling saya harapkan satu ketika dulu. Kerana itu, saya mempertaruhkan nama baik saya mengusahakan agar dia berjaya juga ke Universiti. Sebaik di sana, dia nampak bersemangat dan rajin. Memberikan maklumat-maklumat palsu sehinggakan satu-satu nya tanah pusaka tinggalan tok Dungun terjual buat mengongkosi belanja pengajian nya... jadi di antara kami bertiga yang pernah ke universiti (saya, adik jamaliah dan Ma), dia lah yang paling bernilai tinggi...sekarang menanggung hutang PTPTN dan tanahpun terjual. Saya tidak pasti tentang pencapaian CGPA nya..saya jangka di bawah 2.7


Ayah,
Saya masih tahu dengan pasti bahawa dalam setiap tubuh kami ini darah ayah lah yang mengalir lancar. Kami mewakili warisan dan peribadi ayah yang terpecah...sedikit untuk setiap kami. Tetapi saya tidak tahu kenapa kami menjadi berantakan begini. Saling tidak memaafkan, atau saling mendendami, saling membenci, saling prasangka. Lebih parah ayah, Cek semacam tidak mahu anak anak nya pulih dari sengketa ini – sekurang-kurang nya selepas ayah tiada. Sekarang saya mula mengerti bahawa sikap Cek itu bukan lah sebab ayah, tapi sebab dia sendiri yang tidak menginginkan.

Selepas ayah pergi, saya menganggap apa yang berlaku di dalam keluarga sebagai satu sejarah. Dengan saya yang di anggap mewarisi takhta, saya fikir keadaan akan berubah. Ayah pernah menjadi beban, tetapi ayah, beban itu tidak pergi bersama ayah. Atau bukan ayah yang menjadi beban sebenarnya, tetapi kami sendiri...

Jadi ayah, pesanan ayah itu tak dapat saya laksanakan. Maafkan saya ayah. Anak-anak ayah semua nya sudah dewasa, mampu membuat keputusan sendiri dan menanggung segala risiko yang bakal datang dari nya.....

Dan mungkin seperti yang pernah ayah rasa dan alami, saya telah tersingkir dalam kasihsayang mereka semua .... hari hari kehidupan saya, saya lalui untuk percaya bahawa saya sendirian ..tanpa adik beradik...
....tanpa adik beradik yang saya pernah sayang atau menyayangi saya...

YA ALLAH – berikan aku fatwa, kata kata sakti ; semuga hati ku yang lara tak ku rasai....

1 comment:

Niena.... said...

perasaan yang hanya dapat difahami oleh mereka yang telah melaluinya baik yang telah lama pergi mahupun yang baru meninggalkan kita... AlFatihah mereka yang telah meninggalkan kita....