Friday, November 21, 2008

Adakah ini waktu nya untuk hijrah?

Tiba di satu detik dalam hidup ini, kita harus berhenti sejenak, mendongak ke langit dan bertanya.....

"Apakah jalan bersimpang di hadapan ini mengundang padah?"

Wajarkah aku menimbang untuk berhijrah?

Perseimbangan dalam ketidaksamaan

Seimbang tidak semestinya sama banyak.... (mencabar teori persamaan perakaunan oleh PArcioli)..

Dalam perakaunan, satu persamaan terpenting ialah persamaan perakaunan, iaitu

Aset = Liabiliti + Ekuiti PEmilik
100 = 20 + 80

namun, bukti bukti dari alqur'an melangkaui teori sekcil itu....perhatikan...

Bilangan tentang perkara yang disebutkan di dalam Al-Quran:
DUNIA - 115 kali
AKHIRAT - 115 kali

MALAIKAT - 88 kali
SYAITAN - 88 kali

HIDUP - 145 kali
MATI - 145 kali
FAEDAH - 50 kali
KERUGIAN - 50 kali

UMMAH - 50 kali
PENYAMPAI - 50 kali

IBLIS : PENGHULU SYAITAN - 11 kali
MOHON PERLINDUNGAN DARIPADA IBLIS - 11 kali

BALA/MUSIBAH - 75 kali
BERSYUKUR - 75 kali

BERSEDEKAH - 73 kali
BERPUAS HATI - 73 kali

ORANG YANG SESAT - 17 kali
ORANG YANG MENINGGAL DUNIA - 17 kali

MUSLIMIN - 41 kali
JIHAD - 41 kali

EMAS - 8 kali
KEMURAHAN HIDUP - 8 kali

KEAJAIBAN - 60 kali
FITNAH - 60 kali

ZAKAT - 32 kali
BERKAT - 32 kali

MINDA - 49 kali
NUR - 49 kali

LIDAH - 25 kali
SUMPAH - 25 kali

NAFSU - 8 kali
KETAKUTAN - 8 kali

BERCAKAP DI KHALAYAK RAMAI - 18 kali
BERDAKWAH - 18 kali

KESUSAHAN - 114 kali
KESABARAN - 114 kali

MUHAMMAD - 4 kali
SYARIAT - 4 kali

LELAKI - 24 kali
PEREMPUAN - 24 kali

SOLAT (SEMBAHYANG) - 5 kali
BULAN - 12 kali
HARI - 365 kali

LAUTAN - 32 kali
DARATAN - 13 kali
LAUT dan DARAT = 32 + 13 = 45

Justeru itu, peratusan laut = 32/45 x 100 = 71.11111111 peratus Peratusan daratan = 13/45 x 100 = 28.88888889 peratus JUMLAH = 100 peratus

Kajian sains oleh manusia telah membuktikan bahawa air meliputi 71.111 peratus daripada bumi dan tanah meliputi 28.889 peratus. Begitulah kebesaran dan keagungan ciptaan Allah SWT!! Nota: Diterjemahkan daripada karya asal yang dipetik daripada "The Series Of The Scientific Miracles In Quraan," oleh Dr. Tariq Al Suwaidan.

Sejauh mana kita mengerti?

Thursday, September 18, 2008

Semua kitab Suci di turunkan pada bulan Ramadan

Hadis riwayatkan Imam Ahmad (maksudnya): Suhuf (lembaran) Ibrahim diturunkan pada malam pertama bulan Ramadan, Taurat diturunkan pada 6 Ramadan, Injil diturunkan pada 13 Ramadan dan al-Quran pula diturunkan pada 24 Ramadan.
Kenapa?

Monday, September 1, 2008

Sejarah Puasa (2)

Ada dinyatakan di dalam kitab taurat bahawa puasa difardukan ke atas orang-orang Yahudi pada hari yang ke sepuluh di bulan yang ke tujuh iaitu yang dinamakan hari 'Asyura. Mereka berpuasa siang dan malam.Puasa yang termasyur bagi orang-orang Nasrani pula ialah puasa sebelum "Iedil Fishi" iaitu hari memperingati bangunannya Al-Masih dari kubur.Itulah di antara puasa yang dilakukan sebelum Islam iaitu puasa yang dipraktikkan oleh Nabi Musa dan Nabi Isa a.s. dan para Hawari tetapi ianya dipinda dan ditambah oleh ketua-ketua gereja dengan berpuasa yang lain dan dalam bentuknya yang lain, ada yang berpuasa daripada memakan daging, telor, ikan, susu dan sebagainya.Semua situasi di atas adalah jauh bezanya dengan puasa yang difardukan ke atas umat Muhammad s.a.w. Puasa yang dilakukan bukan kerana memperingati sesuatu peristiwa atau berpantang daripada satu-satu jenis makanan dan bukan pula kerana nazar yang tidak disyariatkan. Tetapi puasa pula disyariatkan oleh Allah dengan tujuan melatih hambaNya supaya bertakwa kepadanya sepertimana yang disebut di dalam firmanNya maksudnya:"Mudah-mudahan kamu bertakwa."Inilah natijah yang ingin dilahirkan oleh puasa yang telah disyariatkan dan Allah menyatakan di dalam sebuah hadis Qudsi maksudnya: "Setiap amalan Bani Adam itu adalah untuknya melainkan puasa ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya".

Thursday, August 28, 2008

Sejarah Puasa (1)

Puasa adalah suatu ibadah yang telah lama dilakukan oleh manusia sebelum Islam. Hal ini diingatkan di dalam ayat 183 surah Al-Baqarah maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa seperti mana diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa."

Al-Qurtubi di dalam tafsirnya "Al-JamiÕ li Akhamul Quran" menjelaskan bahawa Allah telah memfardukan atas umat Musa dan Isa Alaihissalam berpuasa di bulan Ramadhan, tetapi kemudiannya mereka mengubah dengan menambah sepuluh hari lagi sebagai membayar nazar pendita yang telah sembuh daripada sakit maka jadilah puasa orang-orang nasrani empat puluh hari.Kesukaran berpuasa Ramadhan di musim panas akhirnya mereka memindanya pula ke musim sejuk. Manakala pendita yang lain pula bernazar jika dia sembuh dari sakit mulutnya beliau akan menambah sepuluh hari lagi hinggalah puasa mereka menjadi lima puluh hari.

Diriwayatkan daripada Imam Mujahid bahawa Allah telah memfardukan puasa ke atas setiap umat. Pendapat ini dikuatkan lagi dengan kata-kata Rashid Ridha bahwa "puasa ini pernah dilakukan oleh orang-orang Arab sebelum Islam". Diriwayatkan daripada 'Aisyah r.a. bahawa orang-orang Quraisy berpuasa pada hari 'Asyura.Setelah Nabi berhijrah ke Madinah, Nabi s.a.w. mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, maka nabi turut berpuasa beserta dengan sahabat-sahabat lain.Pada akhir Sya'ban tahun yang kedua Hijrah Allah menurunkan ayat-ayat yang mewajibkan puasa 183,184,185 dari surah Al-Baqarah. Setelah puasa Ramadhan difardukan, Rasulullah s.a.w. bersabda tentang puasa Asyura yang dilakukan sebelum itu yang bermaksud:"Barang siapa yang ingin berpuasa pada hari "Syura" maka puasalah dan barang siapa yang hendak berbuka maka berbukalah".Rasulullah s.a.w. berpuasa Ramadhan selama hidupnya sebanyak sembilan kali. Lapan kali dengan dua puluh sembilan hari dan sekali sahaja puasa penuh tiga puluh hari. Mengikut riwayat yang lain sebanyak dua kali puasa penuh tiga puluh hari.Menurut pendapat yang masyhur di kalangan Umat Islam bahawa puasa itu diwajibkan atas segala pemeluk agama. Bangsa Mesir yang menyembah berhala berpusa, bangsa Yunani memastikan setiap lelaki dan perempuan mereka berpuasa demikian juga dengan bangsa Romawi dan orang-orang Hindu terus menerus berpuasa sehingga kini.

(dari sumber internet)

Wednesday, August 20, 2008

UiTM di hati...

Meneliti semula diskusi di antara Dato Dr Mansor Salleh dan YB Dato Ibrahim Ali beberapa hari lalu memang memberikan maklumat, membuka minda sedikit.

Isu nya 10% pelajar bukan bumiputra untuk UiTM.

Pandangan YB Dato Ibrahim penuh bersemangat.Sambil memanggil nostalgia zaman beliau menjadi pemimpin pelajar dulu, kata-kata beliau memang sesuatu yang mengujakan. Bagi Dato Dr Mansor Salleh (bekas pengarah UiTM), menanggap cadangan tersebut sebagai sesuatu yang positif dan menggesa warga UitM bersikap positif juga, memang memberi dimensi ke arah ketangkasan akliah yang bakal memberi manafaat....

Isu nya 10%. tak silap, jika dibuka sedemikian ia bakal melanggar akta 153 Perlembagaan Malaysia? Kalau tidak silap lagi, AKta 153 Perlembagaan Persekutuan juga mencakupi juga isu bahasa - iaitu Bahasa Melayu hendaklah digunapakai dalam sistem pelajaran di MAlaysia....
Kemana akta ini apabila Sains dan Matematik di ajar dalam BI?

Begitu juga MRSM - beberapa tahun lepas telah pun dibuka kepada bukan bumi...10% jugak...

Aku tak paham - atau siapa yang tak paham???

Monday, August 18, 2008

Hanya kerana teguran

Tak ramai yang boleh menerima teguran secara terbuka. Kendatipun teguran tersebut ialah usaha memperbaiki diri mereka yang ditegur supaya lebih bersedia menghadapi persaingan, atau pancaroba.

Selalu nya pembela akan bercakap mengenai "bukan teguran yang salah, tetapi cara nya salah"..apa apa saja lah. Bagi ku, aku tidak akan bersedia mengeluarkan apa apa teguran jika aku tak merasa perlu atau aku tidak merasa rapat dengan orang yang aku akan tegur itu. Justeru, sepanjang proses "rapat" itu, tentu lah dia sendiri (orang yang kena tegur) sudah sedia maklum watak dan peribadi yang dibawa...

Orang lebih melihat bekas daripada isi nya... Mangkuk yang cantik mungkin mungkin mudah diterima berbanding isi mangkuk...Alangkah bodohnya.....

Sunday, August 17, 2008

Back to work

Wahhh....penat belum hilang sepenuhnya, tp kerja-kerja tertunggak perlu beres minggu ini. Hujung minggu depan perlu hadiri sebagai pembentang di UIA... gelabah jugak sebenarnya.

Lebih penat - memikirkan Chong Wei kalah teruk di Beijing.
di saat isteri saya menyuruh bertenang, saya bisikkan begini

"Bukan kalah yang sy pertikaikan, tetapi kaedah kekalahan itu - semcam hampir tak melawan, begitu lemahkah ketahanan mental rakyat negara ku ini , atau faktor sejuta itu memberi kesan negatif; mungkin next Olimpik boleh ditambah lagi kepada 10 atau 100 juta ......."

Pun begitu, tahniah...skurang2nya Chong Wei mengekalkan dirinya sebagai pemain no2 dunia..

Al-Fatihah

Lama benar tidak menuliskan sesuatu disini>

1. 30 Julai 2008, Rabu 650 petang : Ibu Mertua ku - Che Wan Ngah bt Ngah meninggal dunia, selepas hampir setahun tidak berdaya untuk berbuat apa apa pun. Itu pun selepas hampir 17 tahun di landa Strok kali pertama. .. hari itu adalah hari pertunangan ku...

2. 14 Ogos 2008 Khamis, 4.45 petang - Minah bt Ali - nenek dari sebelah ayahku - meninggal dunia di Kampung Batu Rakit Kuala Terengganu - selepas hampir 2 tahun patah di paha - dan selepas 3 minggu berada didalam keadaan tidak berdaya.

Sesungguhnya setiap yang pergi telah membawa secebis dari peribadi yang terbentuk pada diriku....Sesungguhnya juga, kematian-kematian mereka itu mengingatkan ku bahawa perlu ada "hari, bulan dan orang yang perlu dimuliakan..."

AlFatihah - semuga ALLAH menempatkan mereka di kalangan hamba-hamba Nya yang beriman dan beramal Saleh...
AMIN..

Tuesday, July 22, 2008

Jasad di Seremban, hati terpanggil dgn puisi-puisi

Mengurung diri di Seremban, adalah adunan rasa sunyi tetapi tersendiri..namun kadangkala, terlalu sendirian pun membosankan..

Dua hari di sini, 2 puisi menarik untuk direnungkan:

HAri pertama

Sajak untuk abahku

hujan dah turun, hujan yang sangat lebat
kalau kereta duduk tengah hujan gini
kereta akan berkarat...


Hari Kedua
(ini di katakan sebagai pantun)

Pak Abu rehat di bawah pohon chendana
Jikalau sedap duduk hotel di sana, ingatlah keluarga
kalau ada masa terluang sedikit
ajaklah kami ke sana

Tuesday, July 8, 2008

Cerita tentang Tuan-Tuan (Siri 3)

Tuan-tuan,

Tuan-tuan memang berhati tinggi. Selepas menerobos dan mengunci barang-barang peribadi saya - satu tindakan yang sy anggap biadab dan tak bertamadun - sy masih menunggu untuk mendengar kata maaf dari tuan-tuan kerana tindakan itu. Namun, sehingga sekrang - andaian saya masih benar "selagi tuan-tuan ini bergelar tuan (bilik atau jawatan), hati tuan masih belum merasa nikmat untuk menjadi hamba".

Kedua,
Berada di sini sebenarnya ialah untuk membantu hamba seperti saya - supaya sy boleh berfungsi sebagai pekerja - dan bukan untuk memperhambakan saya - sebegini. Jika saya pun diberikan pilihan, saya pun memang tidak pernah bersetuju untuk bertuankan tuan-tuan sebagai tuan- tetapi sebagai hamba, pilihan tidak berada di tangan saya.

Ketiga,
Kuasa tuan-tuan disini tidak seberapa. Jangan terlalu terpesona dgn anugerah-anugerah yang pernah tuan-tuan terima sebelum ini -kerana ini hanya satu fatamorgana: dan kerana kefatarmorgana itu - ia akan sirna.

Tuan-tuan,
Tuan-tuan mungkin percaya bahawa tuan-tuan hanya berkuasa apabila tuan-tuan menunjukkan kuasa, tetapi saya selalu percaya bahawa kuasa yang sementara itu tidak lebih dari hanya satu lagi saluran tuan-tuan menunjukkan kebejatan peribadi tuan-tuan.

Perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata...

Wednesday, July 2, 2008

Cerita Tentang Tuan-Tuan (Siri 2)

Tuan 2

Tuan Bilik.



Tuan bilik ialah pemilk jawatan juga. Kerana itu, dalam keadaan biasa apabila seseorang itu menjadi tuan jawatan - tentu lah akan ada peruntukan bilik untuk dijadikan tuan - khusus untuk jawatan. Selalunya bilik akan diperuntukan mengikut taraf jawatannya . contoh nya jika dia adalah pemegang jawatan mandur, maka bilik nya nya tentulah lebih besar berbanding pekerja biasa. Jika dia adalah pegawai (atau kerawai), biliknya tentu lah besar sedikit berbanding mandur (atau mandul???).

Dalam suasana kerja di sini, tuan jawatan akan dipilih secara giliran.


Jadi Tuan Bilik,


Saya amat faham kekuasaan tuan terhadap sesuatu yang menjadi hak tuan, meskipun hak tuan itu tidaklah tuan perlukan sangat. Saya juga amat memahami bahawa kekuasaan Tuan lah yang memungkin tuan diberi dua bilik, mungkin antara yang paling teristimewa di sini.

Cuma, apakah tuan mengira menjadi tuan jawatan telah, sekali lagi, membuat tuan menjadi sejenis lagi makhluk asing - lebih galak untuk bercakap mengenai hak berbanding keperluan -?

Kanak-kanak selalu ingin bercakap mengenai apa yang mereka MAHU, kedewasaan ialah tentang menentukan KEMAHUAN mengikut KEPERLUAN...

Tuan Jawatan, apakah tuan belum cukup dewasa?

Tuesday, July 1, 2008

Cerita tentang Tuan-Tuan (Siri 1)

Ada 3 Tuan. Tuan 1 adalah tuan punya jawatan, atau jawatan-jawatan. Tuan 2 ialah Tuan Bilik, Tuan 3 ialah Tuan Tuan..

Tuan 1

Tuan punya jawatan. Apabila tuan mula menolak percubaan saya untuk memberikan penjelasan di antara "tuan bilik" yang ber"hak" dengan saya yang memerlukan, saya mulai yakin bahawa tuan juga sudah bertukar menjadi sejenis lagi makhluk asing. Penjelmaan kepada makhluk asing sebegini bukan perkara baru bagi mereka yang "baru" memegang jawatan "tuan jawatan" atau terlalu lama memegang nya. Dalam konteks tuan, kecenderungan tuan ialah yang kedua.

Ada tuan sebelum ini yang selalu menjelaskan, "tolong hormati jawatan" bukan "pemegang jawatan". Nakal juga tu yer? yer lah tu, tuan kan tuan jawatan.

Apabila tuan mula menolak percubaan saya untuk memberikan penjelasan di antara "tuan bilik" yang ber"hak" dan saya yang lebih memerlukan, saya mula merasakan tuan memang tuan yang menakutkan... menakutkan kerana barangkali tuan terlalu sibuk untuk menguruskan hal ehwal pelanggan baru yang sedang mundar mandir....bahkan saya pun ingin dilayan begitu...agaknya kerana saya sudah "bekas tuan jawatan".

Bekas tuan jawatan memang lah sudah menjadi sampah.

Tuan, saya memang memerlukan bilik, tetapi saya lebih memerlukan penghargaan dan perghormatan sebagai "bekas tuan jawatan" kalau tidakpun sebagai manusia.....

Thursday, June 26, 2008

Cerita tentang Tadbir dan takdir

Bahagia atau malang adalah keputusan Tuhan. Kehendak Tuhan menetapkan adanya Raja dan Hamba. Siapa lagi kalau bukan Tuhan yang mencipta takdir? Tidak ada upaya apa pun yang dapat melawan takdir......

Terbacanya catatan tadi, sudahkah kau beroleh ilhan? [Tunggu dulu!].
semakkan semula pahatan hukum yang bakal kau ukir di mindamu, benarkah ia datang dari hidayat Tuhan atau cuma tanggapan dari daerah kelam?

Apabila malang mengerumuni mu, puja lah nama mu kerana ia ilham Tuhan.

Jika kau terima takdir jadi debu, kau akan lenyap dihembus angin
Apabila kau jadi batu, kau menghancurkan gelas.
Atau adakah engkau hanya setitis embun? Takdirmu hanya jatuh ke tanah!
Apabila kau lah laut, kau ditakdirkan abadi...

Jika takdir membuatmu merana, mohon kepada Tuhan agar Dia mengurniakan mu takdir yang lain, kerana takdir yang ada dalam perbendaharaan Tuhan tidak terbilang banyaknya...

Jika takdir menjadikan aku terpesong akan kadbiran hidupku nanti, pinjamkan daku nama mu sebentar - Mohd Hidayat - muga dapat kubuka semula kunci rahsia tentang penduduk bumi kehilangan nilai diri, tidak faham makna terhalus dari TAKDIR yang terkandung dalam kata-kata sederhana berikut:

"Apabila kau mengubah dirimu sendiri, nasibmu juga berubah..."

Kearah manakah kita berubah? sedangkan
...............pintu syurga tidak hanya satu, jalan ke neraka pun beribu-ribu....

KUPASRAHKAN TADBIR & TAKDIR dalam TAKBIR ke HADRAT MU : ALLAH HUAKHBAR!

Tuesday, June 24, 2008

Hidup dan permainan nya

Setelah berada di awal 40an, ada sesuatu yang tampil dalam pemikiran - sesuatu yang sebelum ini tidak terucapkan.

Apakah hidup ini satu permainan atau beberapa permainan? dan beberapa permainan itu mengikut usia...

Sebaya 2 atau 4 tahun, kita tentu saja bermain dengan "alat-alat" permainan yang mungkin dibeli di kedai-kedai runcit, atau pasar malam - anak anakan, patung-patung, alat masak-masak (bagi kanak-kanak perempuan) atau apa saja yang tidak lebih dari hanya menikmati nya sesingkat 2 3 jam. Di kala usia mula meningkat, kita memerlukan keseronokan baru - katakan seusia 7 atau 8 tahun - bermain basikal, terjun ke sungai, mandi manda, atau cuba mengacau mana-mana sarangan tebuan di tepi sungai. Keseronokan sedemikian bercampur dengan risiko. Selalu juga dimarah ibu, tetapi bebelan ibu itulah yang kadangkala menambah keseronokan.

Sewaktu akal mula bertumbuh (kemudian nya), rasa keseronokan jika dikasihi - atau disayangi - oleh seseorang dari luar lingkungan ibubapa dan ahli keluarga lain nya. Cinta dan kasihsayang itu boleh saja tercipta sebagai satu mekanisma baru untuk satu permainan. Sreronok? ya memang, namun sakit dan luka nya sangat mendalam jika "pisau-pisau" cinta itu menghiris-hiris harapan yang mulai nya bercambah, atau mula rendang....

Setakat itu sajalah permainan sepertiga dari hidup ini. Anak-anakan sewaktu kecil, risiko sewaktu mulai membesar dan kesakitan ketika remaja.

Di saat meningkat dewasa, ada permainan baru pula rupa nya. Bagi mereka yang merasa boleh memimpin - masuk saja persatuan belia/ sukan - ini jambatan emas ke alam politik. Ya, politik sebagai satu ruang permainan yang, memang banyak risiko nya, tetapi jika kena caranya - pulangan pun - waduh waduh.....(politik ialah satu permainan mengatur manusia ....)

Atau apa-apa saja kecenderungan untuk "merasa puas"......

Di saat tua renta, jenis dan bentuk permainan pun turut berubah (atau bertambah.....kahkahkah).


Kenapa kita memilih berbagai permainan (yang berbeza) apabila kita berada di tingkap usia yang berbeza? apakah kerana keseronokan semata? atau ada menafaat lain yang diharapkan dari nya? atau memang permainan memang diperlukan untuk "merasa ada kehidupan"???

(next show : permainan dan masa......)

Saturday, June 21, 2008

Masih Menjaring Pelangi kah?

Salam buat sahabat dan seterusnya lingkungan keluarga.

Agak buntu ilham, beku fahaman dan kaku jemariku dalam kondisi awalan mencari landas perbahasan membalasi warkahmu. Namun frasa keramat, ‘Kita boleh! Kerana kita mahu’ dari resolusi bualan nan lampau banyak menyemarakkan semangat serta tingkah laku untuk bertindak menyahut panggilanmu itu, sahabat.

Penyepian diri, mungkin lagak tipikal seorang personaliti introvert sepertiku. Seorang introvert dikatakan cenderung menjuruskan segala pengurusan hidup ke dalam lingkungan dirinya. Maka, perjuangan bersendirian lebih merupakan ‘default’ sistem asas tindakanku walaupun secara perbandingan, alternatif perjuangan yang digembeling dari kesepakatan pelbagai pihak itu lebih potensi momentum kemampuan, kemampanan dan dayasaingnya.

Sehubungan itu juga, kecenderungan melampau samada introvert mahupun extrovert pasti memberi kesan negative, sama seperti berlebih-lebihan dalam perkara yang lain. Berlebih pengambilan gula dalam pemakanan, akibatnya diabetes. Berlebih garam, menjurus kepada darah tinggi. Berlebih introvert, hidup banyak menyendiri, bahkan boleh ke paras gambaran bak kata perpatah, seperti kera sumbang.

Justeru, dalam muhasabah diri- aku (serta saranan kepada personal introvert yang lain) perlu sering menperingatkan diri sendiri agar tidak terlalu terkurung dalam urusan sendiri-sendiri tanpa usaha terjun ke dalam pergaulan, bergabung diri berpersatuan, asertif menyatakan prinsip dan keakuan diri, agar dapat dikongsi kefahaman tentang tiap-tiap diri anggota dalam masyarakatnya.

Wah! Jika itu terjadi, seorang introvert tidak lagi dengan mudah dapat dicamkan sebagai berpersonaliti introvert oleh orang lain, bahkan oleh dirinya sendiri. Kebiasaan dan perangai diri tidak mudah ditukar ganti seperti menukar pakaian yang perlu secucuk dengan lokasi maupun aktiviti. Maksudnya, pengetahuan akan perlu bertukar cara atau kebiasaan itu ada, namun terkadang terperangkap dalam kebiasaan.

Maka, alhamdulillah bila ada sahabat yang mengerti dan prihatin sepertimu. Sahabat yang memahami kecenderungan trait dan personaliti malah juga keperluan dinamika persekitaran. Kehadiranmu seolah menekan salah satu butang di papankunci komputer atau mengoyang-goyangkan tetikus bagi mengaktifkan kembali programnya yang berada dalam keadaan pegun. Terimakasih.

Sahabat,

Awalan tulisanku yang meneroka jauh ke alam diri dan personaliti itu lantaran lontaran idea tentang keusahawanan darimu. Memperkatakan tentang usahawan (juga banyak perkara lain) maka, tiada dapat dinafikan bahawa landas utamanya adalah seputar perihal diri. Siapakah usahawan itu?. Jawabannya ialah diri, seorang insan. Justeru keperihalan modal insan perlu ditanggap untuk dititikberatkan.

Memperkatakan soal modal insan boleh saja dibuat dari berbagai jurus, aspek dan lingkungan. Namun aku terkesan darihal persoalan kognitif, emotif dan tingkahlaku.

Kognitif bersangkutan dengan sistem kepercayaan, otak, minda, akal ataupun berfikir. Sehubungan dengan menjadi usahawan, maka timbullah persoalan di minda: mengapa mahu meletakkan jawatan makan gaji demi bertukar menjadi usahawan? Otakpun mencerana akal, sistem kepercayaan menyuguh fatwa – ‘Kita boleh! Kerana kita mahu’. Sama keadaannya seperti aku boleh kerana aku mahu membalasi warkahmu ini.

Kemahuan! Katakunci utama mengapa aku ingin menjadi usahawan. Kata mereka yang bijak pandai dalam motivasi kemahuan ini: lagi mendalam kemahuan anda, lagi mudah untuk anda mencapai matlamat tersebut. Kemahuan seumpama api yang membakar. Lagi besar api tersebut, lagi hangat ia akan membakar keinginan jiwa anda dalam mencapai apa juacita-cita yang anda letakkan untuk diri anda sendiri.

Kenapa aku mahu? Kemahuan itu didatangkan oleh rasa yang didorong oleh ajaran-ajaran Rasulullah s.a.w bahawa 9/10 sumber rezeki adalah dari perniagaan. Emosiku gelora dalam dinamika dan selesanya mengsepakati bahawa ajaran itu bagus! Aku mahu menyakini ajaran itu. Aku mahu sembilan bahagian itu. Sembilan daripada sepuluh adalah kadar yang amat besar dalam perkiraan arimatik yang didoktrinkan semenjak awal persekolahan. Faktor sedemikian menyuntik pemikiran dan emosi akan keyakinan.

Bercerita tentang keyakinan memanglah agak mudah berbanding memanifestasikan tentang keyakinan. Halangan menjelmakan keyakinan, salah satu darinya adalah malu yang tersasar dari kewajaran. Adakalanya, terasa malu untuk mengiakan gelaran usahawan, sebab bagi mereka yang menjuruskan segalanya secara terpernci akan membeza-bezakan antara usahawan dengan peniaga kecil bertahap ikan bilis.(menjadikan bukan terasa kecil, tetapi diperkecil-kecilkan)

Usahawan itu dimahsyurkan sebagai peniaga yang bergiat secara besar-besaran yang mensasarkan matlamat pencapaian, keuntungan dan pertumbuhan yang cepat, menyerlah, strategik dengan perlaksanaan yang kreatif lagi inovatif. Manakala aku ini masih merangkak, menawarkan perkhidmatan dan barangan pada kadar pertumbuhan yang terhad dan perlahan, serta tidak dominan dalam perniagaan yang diceburi. Sehubungan status awalan itu, tanggapan dalaman diri serta persepsi luaran saling mendokong dan menekan akan iltizam, dayasaing dan keyakinan.


Justeru perihal sebegitulah, pengukuhan emotif sangat penting apabila menjerumuskan diri ke lembah keusahawanan atau perniagaan. Dikatakan salah satu pencetus kepada keusahawanan adalah aspek sosiologi. Sarjana sekolah pengurusan perniagaan mengunjurkan bahawa situasi sosial yang terkandung dalamnya budaya, juga mempengaruhi.
Di dalam negara kita, penguasaan kaum cina di dalam keusahawanan atau perniagaan merupakan satu fakta jelas. Penguasaan sebegitu rupa sudah pasti ada faktor runtunannya. Budaya bangsa, sokongan dan dokongan keluarga malah organisasi merupakan kombinasi ampuh menyemarakkan iltizam dan keyakinan. Soalnya, bagaimana kita, anggota keluarga kita, masyarakat dan organisasi kita (Melayu) ?

Penyoalanmu berkaitan kemampuan dayasaing dan perumpamaan keusahawanan itu laksana medan perang, makin bergema-gema bersama-sama rangkap soalanku sebelum ini. Penyertaan nasihat dan bujukanmu menyatakan;’Kau pencari “jawapan”, bukan pencipta “alasan”’, melapangkan rongga dada serta menyemarakkan jiwa .

Namun tidak semua orang atau pehak yang mahu mencipta atau berkongsi emosi yang konstruktif. Pasangan samada suami atau isteri, anak, sanak-saudara dalam famili terkadang tidak mampu membendung arus kebimbangan terlampau berkaitan situasi awalan keusahawanan yang sering diselubungi oleh gejala pendapatan tidak menentu, risiko modal yang dilaburkan dan pelbagai masalah lain.

Maklum sajalah, bidang keusahawanan ini bak perumpamaan moden; ‘ada kerja, ada gaji. Tak ada kerja, cintapun boleh lari..sebab sorru dah miss’. Justeru, berbanding dengan makan gaji, setiap bulan poket terisi, pasti !. Ia menarik dan menjadi pilihan yang ‘default’ kepada orang kita, apatah lagi yang kurang pengetahuan, miskin pengalaman sepertiku ini.

Pelanggan, yang dalam khayal keusahawananku jangkakan berpotensi, bila didekati, ternyata tidak berahi. Agensi penggalak yang wajarannya harus berperanan selaku penyokong , terkadang penggiatnya bertindak serong seperti rungkaian frasamu ‘Ahh...kesian.. Kemudian, kerana ada kenalan “orang-orang tertentu” , tabung-tabung kewangan pun mencurah-curah turun atas nama “insentif kepada usahawan muda”.

Benarlah, menjadi usahawan tidak mudah. Namun tiada apa yang menghalang bagi mereka yang mahu!. Maka benarlah juga seperti katamu, usahawan perlu memperkasakan sikap, pengetahuan, dan kemahiran yang perlu digembelingkan sebagai penyangga dayasaing. Cuma harapan si usahawan itu, persekitarannya turut memperlengkapi kemesraan untuk pertumbuhan. Gejolak emosi yang mendorong perlulah dituntun lagi dipertonton agar ketelusan tidak menjadi pertikaian.

Seingatku sahabat,
Fasa kehidupan kita yang bermula dari kelahiran, usia kecil, remaja, dewasa hingga ke tua renta, memang rencam sifatnya. Seronok bila mengimbau-imbau, kelahiran disambut dengan ria, berkenduri-kendara, puji-pujian – “comelnya bayi ini”. Begitu juga bila belajar merangkak, bertatih – jatuh-bangun, kita diberi dorongan tiada henti, “bagus!, cuba lagi...jangan takut” dan sebagainya. Ia menjadikan kita teruja dengan keyakinan yang kian terbina untuk mecuba sesuatu yang mengarah ke hala pencapaian.

Namun entah di mana silapnya, tika menongkah usia remaja, persekitaran mulai seakan memusuhi. Puji dan motivasi seakan mula menyepikan diri, malah ia diganti dengan resepi-resepi ngeri penafian dan penidakan, kecemburuan dan cemuhan, sinis dan sindiran, ke atas seseorang yang bergelut menggiat sesuatu kebaikan. Ironinya, ia dilontarkan atas nama persaingan. Bak remaja sekarang yang seakan berbangga menempelak segalanya dengan slogan ‘poyou’ dan ’skema’. Bagaimanakah mahu kita bina persekitaran yang penuh galakan dan keyakinan?

Sahabat,
Aku merasa amat terharu di atas keprihatinanmu yang melangkaui batasan dewan kuliah. Kau menebarkan pesan lewat segala persada yang mampu kau singgah. Pelajar, pengusaha, pekerja serta rakan taulan, tetap kan kau ajak bicara tentang perkembangan, pencapaian, pengusahaan diri ke arah kejayaan bertaraf realiti. Kau yang kenal diri, kenal persekitaran banyak membantu untuk aku kenali halatuju dan menganyam peranan. Cuma persoalan tentang bila...bersangkutan banyak perkara itu, bakalku tangani satu persatu. Satu-satunya jawaban pasti tentang bila yang mampu kujawab tika ini adalah bersabitan mengakhiri warkahku kali ini di nokhtah ini.


Wassalam.

Wednesday, June 18, 2008

Jika Ibu Boleh Memilih.....

Bila ibu boleh memilih
Anakku...Bila ibu boleh memilih
Apakah ibu berbadan langsing atau berbadan besar
karena mengandungmu
Maka ibu akan memilih mengandungmu...
Karena ketika mengandungmu ibu merasakan keajaiban dan kebesaran Allah

Sembilan bulan nak...
Engkau hidup di perut ibu
Engkau ikut kemanapun ibu pergi
Engkau ikut merasakan
ketika jantung ibu berdetak karena kebahagiaan
Engkau menendang rahim ibu ketika engkau merasa tidak nyaman, karena ibu
kecewa dan berurai air mata

Anakku...
Bila ibu boleh memilih apakah ibu harus operasi caesar, atau ibu harus berjuang melahirkanmu Maka ibu memilih berjuang melahirkanmu
Karena menunggu dari jam ke jam,
menit ke menit dan
Saat ke saat
kelahiranmu
Adalah seperti menunggu untuk memasuki salah satu pintu surga
Karena kedahsyatan perjuanganmu untuk
mencari jalan ke luar
ke dunia………..
sangat ibu rasakan
Dan saat itulah
kebesaran Allah menyelimuti kita berdua
Malaikat tersenyum diantara peluh dan erangan rasa sakit,
Yang tak pernah bisa ibu ceritakan
kepada siapapun ….

Dan ketika engkau hadir,
tangismu memecah dunia
Saat itulah...
saat paling membahagiakan
Segala sakit & derita sirna melihat dirimu yang merah,
Mendengarkan ayahmu
mengumandangkan adzan,
Kalimat syahadat kebesaran Allah dan
penetapan hati tentang junjungan kita
Rasulullah ditelinga mungilmu
Anakku...

Bila ibu boleh memilih apakah ibu berdada indah,atau harus bangun tengah malam untuk menyusuimu,
Maka ibu memilih menyusuimu,
Karena dengan menyusuimu ibu telah membekali hidupmu dengan
tetesan-tetesan dan tegukan tegukan yang sangat berharga
Merasakan kehangatan bibir dan
badanmu didada ibu
dalam pelukan ibu,
Adalah sebuah rasa luar biasa yang orang lain tidak bisa rasakan Anakku...

Bila ibu boleh memilih duduk berlama-lama di ruang depan
Atau duduk di lantai menemanimu menyempurnakan teka teki
Maka ibu memilih bermain teka teki bersama mu
Tetapi anakku...
Hidup memang pilihan...
Jika dengan pilihan ibu,
engkau merasa sepi dan merana
Maka maafkanlah nak...Maafkan ibu...Maafkan ibu...Percayalah nak, ibu sedang menyempurnakan teka teki kehidupan kita,
Agar tidak ada satu kepingpun bagian teka teki kehidupan kita yang hilang
Percayalah nak...
Sepi dan ranamu adalah sebagian duka ibu
Engkau selalu menjadi belahan nyawa ibu...

Tuesday, June 17, 2008

Surat Untuk Seorang Sahabat

Assalamualaikum Wr WT
Sahabatku

Bagaimana hidup mu sekarang, sahabatku? Bagaimana anak-anak dan isteri mu? Salam aku pada mereka – cakap sajalah – aku juga rindukan mereka.

Sahabatku,
Lama juga kita tidak bertemu. Seingatku, kali terakhir kita sempat minum teh bersama ialah di hari kau menghantar surat perletakan jawatan di Kementerian dulu. Sejak itu, kita bukan sahaja tidak bertemu, bahkan tidak berhubung samasekali. Aku cuba menghubungi mu melalui SMS atau telefon bimbit, tetapi kedua-dua usaha itu gagal. Aku tahu kau ingin menyendiri. Kau selalunya ingin berjuang sendirian, kau akan mencari aku setelah kau menang perjuangan mu nanti.InsyaALLAH.

Tindakan mu berhenti bekerja memang mengejutkanku. Aku faham dan sangat bersetuju dengan keazaman dan iltizam mu untuk menggalas gelar “usahawan” itu, tetapi mungkin kau terlupa sahabatku bahawa terlalu banyak pertimbangan lain yang perlu kau teliti sebelum tindakan sebegini kau ambil.

Pertama, jika kita ingin mengisytiharkan perang, pastikan kita sudah punyai cukup senjata diri. Perniagaan ini seumpama perang sahabatku. Kau pun sudah berulangkali membaca buku “Sun Zhu : Art of War”, bahkan sesetengahnya kau memang menghafalnya dengan baik, mengalahkan aku – tentunya. Namun kebimbangan aku kini ialah senjata diri yang minima, atau bala tentera yang kurang terlatih. Bahkan yang penting kau belum bersedia untuk mati di medan perang. Bolehkah kau bersaing sahabatku?

Namun, kau masih terpuji dalam satu hal. Kau sanggup berhenti dari jawatan yang “agak selesa” dahulu untuk semata-mata terjun ke kancah dunia usahawan yang “penuh onak berduri” ini. Kau memilih kesukaran hanya kerana ingin merasa puas dengan kehidupan ini. Kau berbeza sahabatku. Kau berbeza dari kebanyakan orang (atau teman-teman graduan kita) yang lain. Kebanyakan mereka terjun ke dunia usahawan kerana kegagalan mereka mendapat tempat di dunia pekerjaan. Usahawan adalah pilihan terakhir mereka. Mereka ini, seperti yang selalu kita bicarakan, seumpama dipaksa kahwin. Tenang tapi gelora...

Bagaimana mungkin golongan usahawan ini dapat menyintai dan menyayangi profesion sendiri? Mereka sekadar memeluk profesion ini dengan niat untuk mencari makan, atau sementara ada majikan menawarkan kerja. Ahh...kesian.. Kemudian, kerana ada kenalan “orang-orang tertentu” , tabung-tabung kewangan pun mencurah-curah turun atas nama “insentif kepada usahawan muda”. Tidak kah ini menzalimi atau merampas hak orang lain sahabatku?

Sahabatku, pertimbangan kedua ialah destinasi akhir mu dalam bidang ini. Kita jarang berbincang aspek ini. Aku pernah mendengar khayalan-khayalan mu tentang betapa hebatnya seorang usahawan berbelanja, punyai beberapa kad kredit berjenis ‘gold” atau “premiun”, punyai beberapa kereta mewah atau sesekali perasaan jantan mu mula mengkhayalkan dikepit wanita-wanita cantik dan muda. Ah! Kacau juga yer....??!! (sebenarnya aku sendiri pun seronok berkongsi khayalan mu).

Tetapi, apa kah destinasi akhir mu sahabatku? Bagaimana rupa dan wajah mu yang bakal kau ukir sebagai usahawan di akhir nya? Akhir itu berapa lama dari sekarang? Bila? Ini lah yang selalu aku tanya kan pada mahasiswa yang menjadi pelajar-pelajar ku. Sesetengah mereka bercita-cita untuk menjadi akauntan. Ketika ku tanya akauntan jenis apa semada akauntan kewangan atau akauntan pengurusan, mereka terdiam. Itu belum ku minta “beri saya tarikh bila kah kalian akan menjadi seperti yang tuan cita-citakan”... Sesetengahnya mentertawakan aku. (dalam diam, aku tahu pemikiranku itu tidak tercapai oleh kefahaman mereka). Tetapi aku maafkan mereka. Tetapi kau sahabatku, amat mengecewakan aku. Telah beberapa kali (paling akhir di depan rumah mak mu di Jempol) kita lunasi persoalan ini. Ada dua perbezaan besar di antara cita-cita dan angan-angan. (1) Spesifik, dan (2) Masa.

Apabila kau menyatakan bahawa cita-cita mu ialah menjadi usahawan berjaya, itu bukan satu cita-cita, sahabatku. Ia hanyalah sekadar angan-anganmu, kerana ia tidak spesifik. Cita-cita mesti lebih spesifik. Contohnya menjadi usahawan tani yang mendapat keuntungan RM30 juta. Itu kan lebih spesifik sifatnya. Aku ingin mendengar kau menukarkan angan-angan mu itu kepada cita-cita. Selebihnya ialah kita perlu meletakkan jedawaktu yang menasabah untuk mencapai cita-cita itu. Contohnya, pada tahun berapa kau bercita-cita untuk mendapat untuk RM30 juta itu? Tanpa jedawaktu sebegitu, anganan mu tetap kekal sebagai anganan sahabatku.

Sahabatku,

Tatkala aku mengkhayalkan kejayaan mu nanti, aku selalu mencari apakah lagi ramuan kejayaaan mu sebagai usahawan nanti. Aku temui satu yang terpenting bagi ku. Kau pencari “jawapan”, bukan pencipta “alasan”. Ini kekuatan mu yang paling ampuh pernah aku temui pada diri mu. Dalam siri ceramah-ceramahku aku selalu ungkapkan bahawa “orang biasa mencari alasan, orang cemerlang mencari jawapan”. Kau miliki sikap itu dari zaman remaja mu, setakat yang sempat aku ingati. Dengan sikap sedemikian, aku tahu ia akan mendorong mu untuk bergaul dengan semua peringkat masyarakat, mengamalkan budaya membaca yang rencam, bahkan itu lah yang menjadi resam hidup mu sekian lama.

Ya, sahabatku. Seorang usahawan harus punyai keazaman yang mendalam, fokus dan selalu ingin mahu dan mahu tahu mencari jawapan kepada soalan-soalan tentang realiti hidup ini. Atas asas itu, aku yakin kau mampu mencapai cita-cita itu.

Namun, apalah sangat keyakinan ku ini? Aku kan tidak terlibat, aku cuma sekadar pemerhati yang hanya tahu mendoakan, atau mengharapkan. Dan seperti biasa, kemahiran pun takkan berkembang. Proses pembelajaran sebenar ialah dengan melalui nya sendiri dan kita takkan beroleh apa-apa hanya dengan menjadi pemerhati. Justeru sahabatku, langkah mu terjun ke dunia usahawan sepenuhmasa dan aku sangat menghormatinya.
Sahabatku, panjang pula celotehku kali ini. Maklum, sudah lama benar kita tidak bertemu atau berhubung. Yang terakhir nak ku sebut dalam warkah ini ialah tentang pesan Rasulullah SWT. Baginda mengingatkan agar umatnya menjaga tiga perkara untuk terus diberkati dalam apa sahaja pekerjaan mereka. Pertama, jaga “niat”. Ini lah teras segala bentuk aktiviti umat Islam untuk menjadikan sesuatu perbuatan atau pekerjaan itu layak diangkat sebagai ibadat atau tidak. Kedua, jaga “Masa”. Sedetik masa, bagi orang China lebih mahal dari “sebutir intan”. Bagi orang Eropah, masa cepat berlalu – “masa terbang”. Bagi Islam, ALLAH bersumpah dalam surah Wal-Asri (Demi masa, Sesungguh nya manusia dalam kerugian, kecuali .......).Dan yang ketiga jaga “orang di sebelah kita” isteri, anak-anakmu dan jiran-jiran mu. Jangan abaikan pesan Rasul itu, sahabatku.

Aku harus berhenti di sini dulu, ada urusan segera yang perlukan kehadiranku (sukar juga jika “masa” kita ditentukan oleh orang lain..kan?). Jika ada masa terluang (tentu saja aku akan luangkan waktu untuk mu sahabatku), aku akan menulis lagi.

Terimakasih kerana sudi menekur hingga ketitik akhir

Wassalam.

Sahabatmu

Monday, June 16, 2008

Nikmat yang ada ialah ketakutan yang tersembunyi

Semalaman mata tidak bisa dilenakan.. walau telah dicuba seberapa daya.

Di saat pandangan digelapkan oleh mata yang tertutup itu, fikiran ku mula menerawang sejauhnya: dari susunan bab-bab lapuran penyelidikan yang masih tersisa kepada senarai penulis-penulis yang menyumbang dalam penyelidikan ku...alangkah payahnya. Alangkah sukarnya menghabisi pengajian di tahap ini...

(aku mula tertanya-tanya: beginikah siksa nya semua bakal pemilik phD?)

Di sisi lain, ada ketakutan untuk tidak kan bakal mampu melunasi ini? Namun, sebagaimana biasa, ketakutan itu larut dalam nikmat yang terus menerus dalam usaha menggali telaga ilmu yang terasa semakin dalam kini....

Nikmat (pencarian ilmu) yang ada ialah (sisipan) ketakutan yang tersembunyi...

810pagi
17Jun2008

Sunday, June 15, 2008

Risau melihat nilai duit

Hidangan Makan malam hari ini (15Jun2008 - Ahad) ialah sebungkus laksa. Ia dibeli dari kedai yang telah biasa dengan kami Selpas hampir 3 bulan tidak menikmati kelazatan nya, hari ini RM2 sebungkus.

Sewaktu menikmati nya, isteri ku membebel - Karipap RM0.50 sebiji di jual di kantin sekolah, Pulut panggang semakin kecil (walaupun harga nya tidak meningkat).....bla bla bla....seorang teman mengisi petrol kereta kelisa sepnuh tangki RM83.... belum sempat aku puas dengan menikmati laksa, ia sudah habis dipinggan...terasa laksa itu selain dari ia naik 50sen sebungkus, ia juga semakin halus...........

Tiba-tiba, sebak di hati kerana.... apakah dalam proses perletakan harga semua itu, ia di asaskan oleh kos? Atau kenaikan kos itu hanya sekadar ayat-ayat berlapis dan alasan yang sebenarnya tidak diketahui oleh kebanyakan usahawan......???

Saturday, June 14, 2008

Sepulang dari Kuala Lumpur

Tiba di Dungun jam 4.00 pagi Ahad, 15 Jun 2008.

Menjengok mertua yang terlantar di Hospital Dungun sebelum bergegas pulang. Merenung mak mertua yang terus terlantar memberikan aku banyak bahan berfikir : kehidupan, perjuangan untuk hidup, kesakitan dan ......

Semua menuju ke situ...ke hari tua...

Tiba-tiba teringat salah satu ayat dari Novel Anwar Ridzuan dari hal menjadi tua di kota NewYork::

Menjadi tua di sini (kota New York) rupa-rupa nya bererti menambah "kaki" daripada dua kepada "tiga" atau "empat"... Bagaimana dengan keadaan menjadi tua di Dungun? Bagi ibu mertua ku, pertimbangan masih dibuat untuk memotong salah satu kaki nya kerana "diabetes"....

Apakah menjadi tua berbeza mengikut sisi geografi....???

4.33 pagi Ahad 15Jun2008