Saturday, June 21, 2008

Masih Menjaring Pelangi kah?

Salam buat sahabat dan seterusnya lingkungan keluarga.

Agak buntu ilham, beku fahaman dan kaku jemariku dalam kondisi awalan mencari landas perbahasan membalasi warkahmu. Namun frasa keramat, ‘Kita boleh! Kerana kita mahu’ dari resolusi bualan nan lampau banyak menyemarakkan semangat serta tingkah laku untuk bertindak menyahut panggilanmu itu, sahabat.

Penyepian diri, mungkin lagak tipikal seorang personaliti introvert sepertiku. Seorang introvert dikatakan cenderung menjuruskan segala pengurusan hidup ke dalam lingkungan dirinya. Maka, perjuangan bersendirian lebih merupakan ‘default’ sistem asas tindakanku walaupun secara perbandingan, alternatif perjuangan yang digembeling dari kesepakatan pelbagai pihak itu lebih potensi momentum kemampuan, kemampanan dan dayasaingnya.

Sehubungan itu juga, kecenderungan melampau samada introvert mahupun extrovert pasti memberi kesan negative, sama seperti berlebih-lebihan dalam perkara yang lain. Berlebih pengambilan gula dalam pemakanan, akibatnya diabetes. Berlebih garam, menjurus kepada darah tinggi. Berlebih introvert, hidup banyak menyendiri, bahkan boleh ke paras gambaran bak kata perpatah, seperti kera sumbang.

Justeru, dalam muhasabah diri- aku (serta saranan kepada personal introvert yang lain) perlu sering menperingatkan diri sendiri agar tidak terlalu terkurung dalam urusan sendiri-sendiri tanpa usaha terjun ke dalam pergaulan, bergabung diri berpersatuan, asertif menyatakan prinsip dan keakuan diri, agar dapat dikongsi kefahaman tentang tiap-tiap diri anggota dalam masyarakatnya.

Wah! Jika itu terjadi, seorang introvert tidak lagi dengan mudah dapat dicamkan sebagai berpersonaliti introvert oleh orang lain, bahkan oleh dirinya sendiri. Kebiasaan dan perangai diri tidak mudah ditukar ganti seperti menukar pakaian yang perlu secucuk dengan lokasi maupun aktiviti. Maksudnya, pengetahuan akan perlu bertukar cara atau kebiasaan itu ada, namun terkadang terperangkap dalam kebiasaan.

Maka, alhamdulillah bila ada sahabat yang mengerti dan prihatin sepertimu. Sahabat yang memahami kecenderungan trait dan personaliti malah juga keperluan dinamika persekitaran. Kehadiranmu seolah menekan salah satu butang di papankunci komputer atau mengoyang-goyangkan tetikus bagi mengaktifkan kembali programnya yang berada dalam keadaan pegun. Terimakasih.

Sahabat,

Awalan tulisanku yang meneroka jauh ke alam diri dan personaliti itu lantaran lontaran idea tentang keusahawanan darimu. Memperkatakan tentang usahawan (juga banyak perkara lain) maka, tiada dapat dinafikan bahawa landas utamanya adalah seputar perihal diri. Siapakah usahawan itu?. Jawabannya ialah diri, seorang insan. Justeru keperihalan modal insan perlu ditanggap untuk dititikberatkan.

Memperkatakan soal modal insan boleh saja dibuat dari berbagai jurus, aspek dan lingkungan. Namun aku terkesan darihal persoalan kognitif, emotif dan tingkahlaku.

Kognitif bersangkutan dengan sistem kepercayaan, otak, minda, akal ataupun berfikir. Sehubungan dengan menjadi usahawan, maka timbullah persoalan di minda: mengapa mahu meletakkan jawatan makan gaji demi bertukar menjadi usahawan? Otakpun mencerana akal, sistem kepercayaan menyuguh fatwa – ‘Kita boleh! Kerana kita mahu’. Sama keadaannya seperti aku boleh kerana aku mahu membalasi warkahmu ini.

Kemahuan! Katakunci utama mengapa aku ingin menjadi usahawan. Kata mereka yang bijak pandai dalam motivasi kemahuan ini: lagi mendalam kemahuan anda, lagi mudah untuk anda mencapai matlamat tersebut. Kemahuan seumpama api yang membakar. Lagi besar api tersebut, lagi hangat ia akan membakar keinginan jiwa anda dalam mencapai apa juacita-cita yang anda letakkan untuk diri anda sendiri.

Kenapa aku mahu? Kemahuan itu didatangkan oleh rasa yang didorong oleh ajaran-ajaran Rasulullah s.a.w bahawa 9/10 sumber rezeki adalah dari perniagaan. Emosiku gelora dalam dinamika dan selesanya mengsepakati bahawa ajaran itu bagus! Aku mahu menyakini ajaran itu. Aku mahu sembilan bahagian itu. Sembilan daripada sepuluh adalah kadar yang amat besar dalam perkiraan arimatik yang didoktrinkan semenjak awal persekolahan. Faktor sedemikian menyuntik pemikiran dan emosi akan keyakinan.

Bercerita tentang keyakinan memanglah agak mudah berbanding memanifestasikan tentang keyakinan. Halangan menjelmakan keyakinan, salah satu darinya adalah malu yang tersasar dari kewajaran. Adakalanya, terasa malu untuk mengiakan gelaran usahawan, sebab bagi mereka yang menjuruskan segalanya secara terpernci akan membeza-bezakan antara usahawan dengan peniaga kecil bertahap ikan bilis.(menjadikan bukan terasa kecil, tetapi diperkecil-kecilkan)

Usahawan itu dimahsyurkan sebagai peniaga yang bergiat secara besar-besaran yang mensasarkan matlamat pencapaian, keuntungan dan pertumbuhan yang cepat, menyerlah, strategik dengan perlaksanaan yang kreatif lagi inovatif. Manakala aku ini masih merangkak, menawarkan perkhidmatan dan barangan pada kadar pertumbuhan yang terhad dan perlahan, serta tidak dominan dalam perniagaan yang diceburi. Sehubungan status awalan itu, tanggapan dalaman diri serta persepsi luaran saling mendokong dan menekan akan iltizam, dayasaing dan keyakinan.


Justeru perihal sebegitulah, pengukuhan emotif sangat penting apabila menjerumuskan diri ke lembah keusahawanan atau perniagaan. Dikatakan salah satu pencetus kepada keusahawanan adalah aspek sosiologi. Sarjana sekolah pengurusan perniagaan mengunjurkan bahawa situasi sosial yang terkandung dalamnya budaya, juga mempengaruhi.
Di dalam negara kita, penguasaan kaum cina di dalam keusahawanan atau perniagaan merupakan satu fakta jelas. Penguasaan sebegitu rupa sudah pasti ada faktor runtunannya. Budaya bangsa, sokongan dan dokongan keluarga malah organisasi merupakan kombinasi ampuh menyemarakkan iltizam dan keyakinan. Soalnya, bagaimana kita, anggota keluarga kita, masyarakat dan organisasi kita (Melayu) ?

Penyoalanmu berkaitan kemampuan dayasaing dan perumpamaan keusahawanan itu laksana medan perang, makin bergema-gema bersama-sama rangkap soalanku sebelum ini. Penyertaan nasihat dan bujukanmu menyatakan;’Kau pencari “jawapan”, bukan pencipta “alasan”’, melapangkan rongga dada serta menyemarakkan jiwa .

Namun tidak semua orang atau pehak yang mahu mencipta atau berkongsi emosi yang konstruktif. Pasangan samada suami atau isteri, anak, sanak-saudara dalam famili terkadang tidak mampu membendung arus kebimbangan terlampau berkaitan situasi awalan keusahawanan yang sering diselubungi oleh gejala pendapatan tidak menentu, risiko modal yang dilaburkan dan pelbagai masalah lain.

Maklum sajalah, bidang keusahawanan ini bak perumpamaan moden; ‘ada kerja, ada gaji. Tak ada kerja, cintapun boleh lari..sebab sorru dah miss’. Justeru, berbanding dengan makan gaji, setiap bulan poket terisi, pasti !. Ia menarik dan menjadi pilihan yang ‘default’ kepada orang kita, apatah lagi yang kurang pengetahuan, miskin pengalaman sepertiku ini.

Pelanggan, yang dalam khayal keusahawananku jangkakan berpotensi, bila didekati, ternyata tidak berahi. Agensi penggalak yang wajarannya harus berperanan selaku penyokong , terkadang penggiatnya bertindak serong seperti rungkaian frasamu ‘Ahh...kesian.. Kemudian, kerana ada kenalan “orang-orang tertentu” , tabung-tabung kewangan pun mencurah-curah turun atas nama “insentif kepada usahawan muda”.

Benarlah, menjadi usahawan tidak mudah. Namun tiada apa yang menghalang bagi mereka yang mahu!. Maka benarlah juga seperti katamu, usahawan perlu memperkasakan sikap, pengetahuan, dan kemahiran yang perlu digembelingkan sebagai penyangga dayasaing. Cuma harapan si usahawan itu, persekitarannya turut memperlengkapi kemesraan untuk pertumbuhan. Gejolak emosi yang mendorong perlulah dituntun lagi dipertonton agar ketelusan tidak menjadi pertikaian.

Seingatku sahabat,
Fasa kehidupan kita yang bermula dari kelahiran, usia kecil, remaja, dewasa hingga ke tua renta, memang rencam sifatnya. Seronok bila mengimbau-imbau, kelahiran disambut dengan ria, berkenduri-kendara, puji-pujian – “comelnya bayi ini”. Begitu juga bila belajar merangkak, bertatih – jatuh-bangun, kita diberi dorongan tiada henti, “bagus!, cuba lagi...jangan takut” dan sebagainya. Ia menjadikan kita teruja dengan keyakinan yang kian terbina untuk mecuba sesuatu yang mengarah ke hala pencapaian.

Namun entah di mana silapnya, tika menongkah usia remaja, persekitaran mulai seakan memusuhi. Puji dan motivasi seakan mula menyepikan diri, malah ia diganti dengan resepi-resepi ngeri penafian dan penidakan, kecemburuan dan cemuhan, sinis dan sindiran, ke atas seseorang yang bergelut menggiat sesuatu kebaikan. Ironinya, ia dilontarkan atas nama persaingan. Bak remaja sekarang yang seakan berbangga menempelak segalanya dengan slogan ‘poyou’ dan ’skema’. Bagaimanakah mahu kita bina persekitaran yang penuh galakan dan keyakinan?

Sahabat,
Aku merasa amat terharu di atas keprihatinanmu yang melangkaui batasan dewan kuliah. Kau menebarkan pesan lewat segala persada yang mampu kau singgah. Pelajar, pengusaha, pekerja serta rakan taulan, tetap kan kau ajak bicara tentang perkembangan, pencapaian, pengusahaan diri ke arah kejayaan bertaraf realiti. Kau yang kenal diri, kenal persekitaran banyak membantu untuk aku kenali halatuju dan menganyam peranan. Cuma persoalan tentang bila...bersangkutan banyak perkara itu, bakalku tangani satu persatu. Satu-satunya jawaban pasti tentang bila yang mampu kujawab tika ini adalah bersabitan mengakhiri warkahku kali ini di nokhtah ini.


Wassalam.

No comments: