Tuesday, June 17, 2008

Surat Untuk Seorang Sahabat

Assalamualaikum Wr WT
Sahabatku

Bagaimana hidup mu sekarang, sahabatku? Bagaimana anak-anak dan isteri mu? Salam aku pada mereka – cakap sajalah – aku juga rindukan mereka.

Sahabatku,
Lama juga kita tidak bertemu. Seingatku, kali terakhir kita sempat minum teh bersama ialah di hari kau menghantar surat perletakan jawatan di Kementerian dulu. Sejak itu, kita bukan sahaja tidak bertemu, bahkan tidak berhubung samasekali. Aku cuba menghubungi mu melalui SMS atau telefon bimbit, tetapi kedua-dua usaha itu gagal. Aku tahu kau ingin menyendiri. Kau selalunya ingin berjuang sendirian, kau akan mencari aku setelah kau menang perjuangan mu nanti.InsyaALLAH.

Tindakan mu berhenti bekerja memang mengejutkanku. Aku faham dan sangat bersetuju dengan keazaman dan iltizam mu untuk menggalas gelar “usahawan” itu, tetapi mungkin kau terlupa sahabatku bahawa terlalu banyak pertimbangan lain yang perlu kau teliti sebelum tindakan sebegini kau ambil.

Pertama, jika kita ingin mengisytiharkan perang, pastikan kita sudah punyai cukup senjata diri. Perniagaan ini seumpama perang sahabatku. Kau pun sudah berulangkali membaca buku “Sun Zhu : Art of War”, bahkan sesetengahnya kau memang menghafalnya dengan baik, mengalahkan aku – tentunya. Namun kebimbangan aku kini ialah senjata diri yang minima, atau bala tentera yang kurang terlatih. Bahkan yang penting kau belum bersedia untuk mati di medan perang. Bolehkah kau bersaing sahabatku?

Namun, kau masih terpuji dalam satu hal. Kau sanggup berhenti dari jawatan yang “agak selesa” dahulu untuk semata-mata terjun ke kancah dunia usahawan yang “penuh onak berduri” ini. Kau memilih kesukaran hanya kerana ingin merasa puas dengan kehidupan ini. Kau berbeza sahabatku. Kau berbeza dari kebanyakan orang (atau teman-teman graduan kita) yang lain. Kebanyakan mereka terjun ke dunia usahawan kerana kegagalan mereka mendapat tempat di dunia pekerjaan. Usahawan adalah pilihan terakhir mereka. Mereka ini, seperti yang selalu kita bicarakan, seumpama dipaksa kahwin. Tenang tapi gelora...

Bagaimana mungkin golongan usahawan ini dapat menyintai dan menyayangi profesion sendiri? Mereka sekadar memeluk profesion ini dengan niat untuk mencari makan, atau sementara ada majikan menawarkan kerja. Ahh...kesian.. Kemudian, kerana ada kenalan “orang-orang tertentu” , tabung-tabung kewangan pun mencurah-curah turun atas nama “insentif kepada usahawan muda”. Tidak kah ini menzalimi atau merampas hak orang lain sahabatku?

Sahabatku, pertimbangan kedua ialah destinasi akhir mu dalam bidang ini. Kita jarang berbincang aspek ini. Aku pernah mendengar khayalan-khayalan mu tentang betapa hebatnya seorang usahawan berbelanja, punyai beberapa kad kredit berjenis ‘gold” atau “premiun”, punyai beberapa kereta mewah atau sesekali perasaan jantan mu mula mengkhayalkan dikepit wanita-wanita cantik dan muda. Ah! Kacau juga yer....??!! (sebenarnya aku sendiri pun seronok berkongsi khayalan mu).

Tetapi, apa kah destinasi akhir mu sahabatku? Bagaimana rupa dan wajah mu yang bakal kau ukir sebagai usahawan di akhir nya? Akhir itu berapa lama dari sekarang? Bila? Ini lah yang selalu aku tanya kan pada mahasiswa yang menjadi pelajar-pelajar ku. Sesetengah mereka bercita-cita untuk menjadi akauntan. Ketika ku tanya akauntan jenis apa semada akauntan kewangan atau akauntan pengurusan, mereka terdiam. Itu belum ku minta “beri saya tarikh bila kah kalian akan menjadi seperti yang tuan cita-citakan”... Sesetengahnya mentertawakan aku. (dalam diam, aku tahu pemikiranku itu tidak tercapai oleh kefahaman mereka). Tetapi aku maafkan mereka. Tetapi kau sahabatku, amat mengecewakan aku. Telah beberapa kali (paling akhir di depan rumah mak mu di Jempol) kita lunasi persoalan ini. Ada dua perbezaan besar di antara cita-cita dan angan-angan. (1) Spesifik, dan (2) Masa.

Apabila kau menyatakan bahawa cita-cita mu ialah menjadi usahawan berjaya, itu bukan satu cita-cita, sahabatku. Ia hanyalah sekadar angan-anganmu, kerana ia tidak spesifik. Cita-cita mesti lebih spesifik. Contohnya menjadi usahawan tani yang mendapat keuntungan RM30 juta. Itu kan lebih spesifik sifatnya. Aku ingin mendengar kau menukarkan angan-angan mu itu kepada cita-cita. Selebihnya ialah kita perlu meletakkan jedawaktu yang menasabah untuk mencapai cita-cita itu. Contohnya, pada tahun berapa kau bercita-cita untuk mendapat untuk RM30 juta itu? Tanpa jedawaktu sebegitu, anganan mu tetap kekal sebagai anganan sahabatku.

Sahabatku,

Tatkala aku mengkhayalkan kejayaan mu nanti, aku selalu mencari apakah lagi ramuan kejayaaan mu sebagai usahawan nanti. Aku temui satu yang terpenting bagi ku. Kau pencari “jawapan”, bukan pencipta “alasan”. Ini kekuatan mu yang paling ampuh pernah aku temui pada diri mu. Dalam siri ceramah-ceramahku aku selalu ungkapkan bahawa “orang biasa mencari alasan, orang cemerlang mencari jawapan”. Kau miliki sikap itu dari zaman remaja mu, setakat yang sempat aku ingati. Dengan sikap sedemikian, aku tahu ia akan mendorong mu untuk bergaul dengan semua peringkat masyarakat, mengamalkan budaya membaca yang rencam, bahkan itu lah yang menjadi resam hidup mu sekian lama.

Ya, sahabatku. Seorang usahawan harus punyai keazaman yang mendalam, fokus dan selalu ingin mahu dan mahu tahu mencari jawapan kepada soalan-soalan tentang realiti hidup ini. Atas asas itu, aku yakin kau mampu mencapai cita-cita itu.

Namun, apalah sangat keyakinan ku ini? Aku kan tidak terlibat, aku cuma sekadar pemerhati yang hanya tahu mendoakan, atau mengharapkan. Dan seperti biasa, kemahiran pun takkan berkembang. Proses pembelajaran sebenar ialah dengan melalui nya sendiri dan kita takkan beroleh apa-apa hanya dengan menjadi pemerhati. Justeru sahabatku, langkah mu terjun ke dunia usahawan sepenuhmasa dan aku sangat menghormatinya.
Sahabatku, panjang pula celotehku kali ini. Maklum, sudah lama benar kita tidak bertemu atau berhubung. Yang terakhir nak ku sebut dalam warkah ini ialah tentang pesan Rasulullah SWT. Baginda mengingatkan agar umatnya menjaga tiga perkara untuk terus diberkati dalam apa sahaja pekerjaan mereka. Pertama, jaga “niat”. Ini lah teras segala bentuk aktiviti umat Islam untuk menjadikan sesuatu perbuatan atau pekerjaan itu layak diangkat sebagai ibadat atau tidak. Kedua, jaga “Masa”. Sedetik masa, bagi orang China lebih mahal dari “sebutir intan”. Bagi orang Eropah, masa cepat berlalu – “masa terbang”. Bagi Islam, ALLAH bersumpah dalam surah Wal-Asri (Demi masa, Sesungguh nya manusia dalam kerugian, kecuali .......).Dan yang ketiga jaga “orang di sebelah kita” isteri, anak-anakmu dan jiran-jiran mu. Jangan abaikan pesan Rasul itu, sahabatku.

Aku harus berhenti di sini dulu, ada urusan segera yang perlukan kehadiranku (sukar juga jika “masa” kita ditentukan oleh orang lain..kan?). Jika ada masa terluang (tentu saja aku akan luangkan waktu untuk mu sahabatku), aku akan menulis lagi.

Terimakasih kerana sudi menekur hingga ketitik akhir

Wassalam.

Sahabatmu

2 comments:

nazam said...

Guane tup..

Surat Untuk Seorang Sahabat...

Membaca surat ini, seperti sedang membaca diri, proses 'rehat' yang dapat memungkinkan muhasabah untuk diri, malahan juga memotivasikannya, seterusnya dapat saya mengenal diri..

jusoh-smile said...

seharusnya, tiba di satu titik dalam perjalanan yang panjang ini, kita harus berhenti sejenak, merenung ke langit dan bertanya...

"sampai bila kah perjalanan ini harus ditelusuri...."